Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 April - Pasaran saham tempatan dibuka rendah sedikit hari ini selepas berjaya melepasi paras rintangan 1,600 pada lewat petang semalam.
Setakat 9.01 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 0.39 mata atau 0.02% daripada paras yang ditutup semalam, 1,608.25 kepada 1,607.86.
Bagaimanapun, dagangan pada pagi ini berprestasi agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 196 mengatasi 111 kaunter rugi.
Rakuten Trade Research menjangkakan indeks penanda aras itu mungkin didagangkan dalam julat 1,600 hingga 1,610 hari ini.
“Di bursa tempatan, kami mendapati pembelian lewat di indeks itu agak ketara dalam beberapa hari kebelakangan ini, maka indeks dijangka disokong dengan baik pada tahap 1,600,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini.
Di peringkat global, Wall Street menyaksikan satu lagi paras rekod tertinggi dipacu oleh perolehan korporat yang kukuh dan data ekonomi yang lebih baik.
Ujar Rakuten Trade, Dow Jones Industrial Average melonjak 300 mata untuk ditutup melebihi paras 34,000 sementara S&P 500 ditutup 46 mata lebih tinggi pada 4,170.
“Sementara itu, kadar hasil perbendaharaan 10 tahun di Amerika Syarikat (AS) menyusut di bawah paras 1.6%.
“Oleh itu, kami percaya pasaran serantau secara umumnya akan menyaksikan prestasi lebih baik hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com