KUALA LUMPUR 13 Okt. - Pasaran Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok sehingga 27 Oktober 2020 di sekitar Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sabah.
Setakat 9.18 pagi, KLCI menurun sebanyak 0.05% atau 0.76 mata, mencecah paras 1,517.67.
Sementara itu, turut memainkan peranan untuk mendorong pergerakan pasaran adalah dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengadap Agong dalam masa terdekat.
Pasaran saham Asia pula melonjak selepas para pelabur menumpu ke arah saham teknologi di Amerika Syarikat (AS) dan kempen pilihan raya yang diteruskan.
Menurut Trading Economics, pasaran itu turut didorong oleh prestasi Wall Street yang melonjak ke paras tertinggi sejak awal September lalu ketika para pelabur menunggu pendapatan korporat minggu ini.
“Sentimen didorong oleh harapan bagi jalan keluar pantas untuk rangsangan fiskal berkaitan COVD-19 di Washington.
“Saham Australia mendahului perolehan keuntungan antara pasaran utama lain.
“Indeks S&P/ASX 200 pula melonjak ke paras tertinggi sejak dua bulan lalu,” kata Trading Economics. - DagangNews.com