KUALA LUMPUR 25 Sept. - Pasaran saham Malaysia, KLCI dibuka lebih tinggi, melonjak 0.53% seiring pasaran serantau.
Setakat 9.05 pagi, KLCI mencecah paras 1,508.81, naik 8.01 mata.
Lonjakan itu didorong pengumuman FTSE Russell yang mengekalkan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI), semalam.
Sementara itu, pasaran saham Asia dijangka meraih keuntungan lebih tinggi selepas lonjakan di Wall Street berlaku, sekali gus mendorong sentimen global.
Lonjakan itu berlaku ketika data Amerika Syarikat lemah dan ketidaktentuan mengenai pakej rangsangan oleh negara itu.
Saham AS ditutup positif dalam keadaan pelaburan yang turun naik semalam, didorong lonjakan kaunter sektor teknologi.
“Apa yang kita dapat lihat bagi pasaran ekuiti ialah ia mampu bertahan,” kata penganalisis pasaran di CommSec seperti dipetik Reuters.
Di Asia, Australia mengungguli pasaran saham dengan niaga hadapan naik 0.12% dan Jepun bertambah 0.13%.
Indeks niaga hadapan Hong Kong pula melonjak 0.45%.
Sementara itu, ahli parti demokrat di Dewan Perwakilan AS sedang berbincang mengenai pakej rangsangan COVID-19 bernilai AS$2.2 trilion yang bakal diundi seawal minggu hadapan.
Dalam masa sama, Speaker Dewan, Nancy Pelosi menekankan beliau bersedia untuk berunding mengenai pakej itu dengan Presiden AS, Donald Trump. - DagangNews.com