Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Pasaran saham tempatan petang ini susut 1.93 mata kepada 1,606.14 mata walaupun indeks utama FBM KLCI itu dibuka tinggi pada 1,613.01 mata.
Keseluruhan pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 748 berbanding 523 manakala 400 kaunter tidak berubah.
Jumlah dagangan sebanyak 12.6 bilion bernilai RM5.79 bilion, lebih tinggi berbanding semalam, sebanyak 10.02 bilion diniagakan bernilai RM4.69 bilion.
Indeks utama dalam dagangan tengah hari mengekalkan paras rintangan 1,600 mata sejajar dengan pasaran saham serantau.
Menurut Reuters, pasaran saham Asia terus meningkat hari ini, meletakkan ekuiti global mencatat keuntungan bagi 12 sesi berturut-turut.
Keyakinan terhadap pemulihan ekonomi global dan kadar faedah yang dijangka rendah telah mendorong pelaburan dalam aset berisiko.
Harga minyak mentah juga melonjak ke paras 13 bulan tertinggi ekoran ribut salji di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan tahap beku yang bukan sahaja meningkatkan permintaan tenaga tetapi mengancam pengeluaran minyak di Texas.
Kenaikan harga minyak ini terus memberi kelebihan kepada ringgit yang ditutup tinggi petang ini pada RM4.0280/0320 berbanding dolar AS.
Semalam, ringgit ditutup pada RM4.0320/0370.
Sementara itu, dalam nota kajian, Hong Leong Investment Bank Research berkata, KLCI bersedia meneruskan aliran peningkatan di tengah-tengah nada luaran yang tegas terhadap prospek Rizab Persekutuan AS.
Dalam masa sama, katanya, ia juga didorong pakej rangsangan AS yang besar dan pelancaran vaksin COVID-19 secara agresif di seluruh dunia.
"Sentimen masih lagi dipengaruhi terhadap jangkaan pelancaran Program Imunisasi COVID-19 tidak lama lagi.
"Ini akan mendorong lebih banyak sektor ekonomi dibuka, memulihkan sentimen pengguna yang sekali gus merangsang pertumbuhan dan daya tahan ekonomi negara," katanya.
Firma itu bagaimanapun melihat kenaikan mungkin terbatas pada paras rintangan antara 1,618 hingga 1,628 mata dengan mengambil kira musim laporan kewangan bagi suku keempat 2020.
Terdahulu, dalam kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech pada 21 Februari ini.
Ia diikuti dengan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula 26 Februari 2021. - DagangNews.com