Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Bursa tempatan kembali mengukuh dalam dagangan pagi ini dipengaruhi beberapa sentimen positif setelah berakhir rendah petang semalam.
Setakat 9.30 pagi ini, indeks utama FBM KLCI menokok 2.71 mata kepada 1,589.6 mata.
Malacca Securities Research yakin pasaran tempatan akan terus meraih keuntungan selepas keyakinan pelabur semakin meningkat terutama apabila Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan prabelanjawan yang dilihat memacu pemulihan ekonomi negara.
"Kami juga mendapati terdapat minat berterusan terhadap sektor bertemakan pemulihan seperti bahan binaan, perbankan dan pengguna.
"Selain itu, saham-saham teknologi mungkin menjejaki kekuatan semalaman di Nasdaq manakala saham berkaitan solar pula mempunyai minat dagangan yang tinggi selepas beberapa kontrak PV dianugerahkan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam dagangan pagi ini, kaunter rugi bagaimanapun mengatasi untung pada 322 berbanding 274 manakala 350 tidak berubah dan 1,272 tidak diniagakan.
Bagi kaunter aktif, ia dahului dengan saham Ho Wah Genting Bhd. menokok 4 sen kepada 34 sen.
Turut rancak diniagakan termasuklah saham TFP Solutions Bhd. dan Ucrest Bhd. masing-masing menokok 1 sen kepada 23 sen dan 2.5 sen kepada 33.5 sen.
Kaunter untung pula menyaksikan ia dimonopoli saham-saham mewah antaranya, Petronas Dagangan Bhd. menokok 28 sen kepada RM20.08 dan Hong Leong Financial Group Bhd. naik 22 sen kepada RM18.42.
Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd. juga diniagakan 16 sen lebih tinggi kepada RM21.46.
Bagaimanapun, dagangan kaunter untung didahului dengan saham Nestle Malaysia Bhd. menokok RM1.20 kepada RM136.30.
Sebaliknya, saham Genetec Technology Bhd mendahului kaunter rugi dengan susut 72 sen kepada RM29.70 diikuti Sam Engineering & Equipment (M) Bhd. susut 28 sen kepada RM14.52.
Apa yang menarik dalam dagangan hari ini ialah saham TH Plantations Bhd. yang bakal menjadi tumpuan selepas Bloomberg semalam melaporkan Lembaga Tabung Haji bercadang menjadikannya syarikat persendirian di tengah-tengah kenaikan harga minyak sawit mentah.
Setakat 9.43 pagi ini, sahamnya susut 0.05 sen kepada 56.5 sen dengan 1.14 juta saham diniagakan. - DagangNews.com