Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 April - Pasaran saham tempatan dibuka tinggi sedikit, namun berprestasi lemah hanya selepas dua minit didagangkan.
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 0.29 mata kepada 1,608.71, daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,608.42.
Namun, setakat 9.02 pagi, indeks itu menyusut kepada 1,607.15, menjadikan jumlah penurunan sebanyak 1.27 mata.
Walau bagaimanapun, prestasi dagangan pada pagi ini agak positif apabila jumlah kaunter untung, iaitu 169 mengatasi 102 kaunter rugi.
Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI akan terus ‘tersekat’ dalam julat kecil hari ini apabila memasuki bulan Ramadan.
“Dengan kurangnya pemangkin membeli dan aktiviti perdagangan dijangka ‘sunyi’, kami menjangkakan indeks itu berlegar dalam julat 1,600 hingga 1,610 hari ini,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, Wall Street ditutup lebih lemah menjelang keputusan perolehan korporat bagi suku pertama dan data inflasi.
Jelas Rakuten Trade lagi, ketiga-tiga margin indeks utama ditutup lebih rendah dengan Dow Jones Industrial Average menyusut 55 mata kepada 33,745.
“Oleh itu, kami menjangkakan dagangan di pasaran serantau akan bercampur-campur hari ini,” tambah firma penyelidikan itu. - DagangNews.com