KLCI mengukuh, saham FGV curi perhatian | DagangNews Skip to main content

KLCI mengukuh, saham FGV curi perhatian

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pasaran tempatan ditutup tinggi petang ini menjejaki kenaikan semalaman Wall Street ekoran pelabur lebih optimis ke arah pemulihan ekonomi.

 

Ia menyaksikan indeks utama FBM KLCI mengakhiri dagangan pada 1,624 mata setelah menokok 0.2%. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, bursa tempatan meraih sentimen menyakinkan apabila para pelabur menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan bank pusat di Indonesia dan Taiwan yang bermesyuarat minggu ini akan mengekalkan dasar yang akomodatif bagi memacu pemulihan ekonomi ekoran pandemik COVID-19. 

 

"Para pelabur memerhati rapat sebarang kenyataan yang dikeluarkan pembuat dasar monetari di AS ekoran kenaikan hasil bon yang mempercepatkan pertumbuhan dan inflasi baru-baru ini. 

 

"Ini mungkin mendorong mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS memberi isyarat kenaikan kadar faedah lebih cepat berbanding jangkaan sebelum ini," katanya kepada DagangNews.com.

 

Bagi pasaran tempatan, katanya, kaunter untung didahului oleh Sime Darby yang merekodkan kenaikan sehingga 7.4% ketika mengakhiri dagangan.

 

Indeks pembinaan meningkatkan 1.2% hari ini manakala indeks tenaga pula susut 2.6% apabila harga minyak mentah diniagakan lebih rendah ekoran kebimbangan terhadap permintaan tenaga. 

 

Sementara itu, saham FGV Holdings Bhd. melonjak sehingga 20.77% kepada RM1.57 sesaham petang ini menjadikan pasaran modal syarikat sebanyak RM5.73 bilion.

 

Saham FGV dibuka tinggi pagi ini apabila Felda gagal menguasai 90% pegangan dalam syarikat itu dalam usahanya untuk menjadikan FGV syarikat persendirian dengan tawaran harga RM1.30 sesaham.

 

Felda hanya memiliki 81% ekuiti dengan jumlah saham sebanyak 2.955 bilion selepas tawaran am mandatori ditutup pukul 5 petang semalam. 

 

Menurut MIDF Research, meskipun pecubaan Felda mengambilalih FGV tidak berjaya, tetapi pendapatan kumpulan dijangka kekal positif dengan mengambil kira kenaikan harga minyak mentah sawit dan pengeluaran buah tandan segar yang sederhana.
 

 

Bagi pasaran kewangan pula, petang ini, ringgit ditutup pada RM4.1130/1170 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.1110/1160 apabila pelabur mengambil langkah berhati-hati menjelang mesyuarat FOMC. 

 

HLIB Research dalam nota kajian berkata, pelabur kini memerhati dengan rapat mesyuarat FOMC terutama pendiriannya terhadap inflasi dan hasil bon. - DagangNews.com