Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 April - Pasaran saham tempatan seolah-olah cuba bergelut untuk bertahan di atas paras 1,600 ketika dibuka pada pagi ini.
Setakat 9 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI mencecah paras 1,600.43, namun menyusut kepada 1,597.19 setelah dua minit didagangkan.
Ini menjadikan jumlah penurunan keseluruhan sebanyak 3.10 mata atau 0.19%.
Jumlah kaunter untung dan rugi juga menyaksikan perbezaan yang agak tipis, masing-masing pada kadar 141 dan 129.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan kekal tersekat dalam mod penyatuan memandangkan indeks itu gagal melepasi paras 1,610 sepanjang minggu lalu.
“Memandangkan pendirian pelabur agak berjangka masa pendek, kami percaya indeks itu akan berlegar antara julat 1,600 hingga 1,610 hari ini.
“Sementara itu, harga minyak mentah Brent disokong dengan kukuh, melebihi paras AS$65 setong dan berjaya menyentuh paras AS$67 semalam,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, aktiviti pengambilan untung muncul kembali susulan terdapat beberapa saham yang mencatatkan rekod tertinggi baharu di Wall Street.
Rakuten Trade berkata, Dow Jones Industrial Average hilang 123 mata kepada hanya di atas paras 34,000.
Sementara itu, penjualan ekuiti kelihatan lebih teruk di saham-saham teknologi apabila Nasdaq menyusut 137 mata.
“Oleh itu, kami menjangkakan ketidaktentuan pasaran akan meningkat hari ini dalam kalangan pasaran serantau selepas berprestasi kukuh semalam,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com