KLCI merosot 3.31 mata selepas kes COVID-19 naik mendadak | DagangNews Skip to main content

KLCI merosot 3.31 mata selepas kes COVID-19 naik mendadak

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Pasaran saham Malaysia meneruskan trend menurun pada awal suku keempat tahun ini selepas kes COVID-19 meningkat dengan mendadak semalam. 

Setakat 9.01 pagi, KLCI mencecah paras 1,493.46, merosot 3.31 mata atau 0.22%.

Rakuten Trade Research dalam nota kajian hariannya berkata, KLCI yang mengalami tekanan penjualan disebabkan oleh ketidaktentuan politik dan kes COVID-19 yang meningkat dijangka berterusan hari ini.

Semalam, negara dikejutkan dengan angka kes baharu jangkitan COVID-19 mencatat 260 kes, kedua tertinggi selepas 277 kes yang dicatat pada 4 Jun lalu.

“Kami menjangkakan indeks itu didagangkan dalam lingkungan 1,500/1,510 hari ini,” kata Rakuten Trade.

Sementara itu, pasaran Asia pula dibuka tidak menentu susulan rancangan pakej rangsangan masih belum mencapai kata sepakat selain para pelabur menunggu data pekerjaan AS untuk melihat perkembangan ekonomi selepas COVID-19. 

Menurut Reuters, niaga hadapan Australia turun 0.46% pada dagangan awal seiring penurunan niaga hadapan di Jepun, merosot sebanyak 0.09%.

Pasaran AS pula ditutup lebih tinggi semalam walaupun nilai dolar merudum, memandangkan para pelabur masih menanti perkembangan pakej rangsangan negara itu. 

Sehari selepas rundingan, Speaker Dewan AS, Nancy Pelosi mendedahkan bahawa persetujuan ke atas pakej rangsangan itu tidak akan berlaku dengan segera di bawah pemerintahan Donald Trump. 

Pihak pembuat dasar juga tidak pasti sekiranya pakej rangsangan itu akan dilancar sebelum pilihan raya AS menjelang 3 November depan. 

Semalam, data baharu menunjukkan perbelanjaan pengguna AS masih meningkat pada bulan Ogos, tetapi momentum itu bergerak perlahan apabila faedah pengangguran mula menurun. 

“Risiko di sini adalah, sekiranya pendapatan boleh guna terus menurun, pemulihan dalam perbelanjaan individu akan perlahan atau sebaliknya. 

Fiskal yang tersekat menunjukkan pembayaran tambahan sokongan kerajaan kepada isi rumah tidak akan berlaku dengan segera," kata penganalisis mata wang di Commonwealth Bank of Australia, Kim Mundy dalam nota kajiannya. - DagangNews.com