KLCI merudum lebih 10 mata menjelang pelantikan PM, 634 kaunter rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI merudum lebih 10 mata menjelang pelantikan PM, 634 kaunter rugi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pasaran saham tempatan tidak mampu mengekalkan momentum penutupan dagangan yang tinggi apabila merudum lebih 10 mata menjelang pelantikan Perdana Menteri baharu. 

 

Petang ini, indeks utama, FBM KLCI berakhir 10.29 mata lebih rendah kepada 1,514.95 dengan jumlah saham pada kadar 3.3 bilion unit. 

 

Secara keseluruhannya, jumlah kaunter rugi mengatasi kaunter untung, dengan perbandingan 634 daripada 334, sementara 451 kaunter lagi tidak berubah dan 779 tidak didagangkan. 

 

Prestasi lemah FBM KLCI terutamanya diheret turun oleh Pasaran ACE, sektor produk perindustrian dan penjagaan kesihatan serta indeks minyak sawit Asia. 

 

Selain prospek fiskal dan ekonomi negara yang turut menjadi faktor kepada penyusutan itu, prestasi FBM KLCI adalah seiring kemerosotan saham-saham di peringkat global dengan niaga hadapan di Amerika Syarikat (AS) merudum pada pembukaan dagangan. 

 

Sebagai contoh di Jepun, indeks Nikkei jatuh ke tahap terendah sejak Januari, diheret turun oleh saham Toyota Motor yang dilaporkan bakal mengurangkan output sebanyak 40% pada bulan hadapan ekoran kekurangan cip.

 

Di peringkat pasaran tempatan, Advance Synergy Berhad masih mengekalkan kedudukan sebagai saham paling rancak diniagakan sehingga petang ini, namun ia berakhir 2.5 sen lebih rendah kepada 17 sen. 

 

Ini diikuti oleh saham Avillion Berhad yang ditutup 1 sen lebih tinggi kepada 20 sen, dengan nilai dagangan bertukar tangan berjumlah RM34.2 juta. 

 

Saham Vitrox Corporation Berhad sebaliknya berakhir di kaunter rugi, dengan kemerosotan terbesar sehingga 66 sen untuk ditutup pada kadar RM18.84. 

 

Turut merasai tempias negatif itu adalah saham Carlsberg Brewery Malaysia Berhad yang berakhir 56 sen lebih rendah kepada RM21.54 dan diikuti oleh saham Heineken Malaysia Berhad apabila ditutup 54 sen lebih rendah kepada RM22.26.

 

Beralih kepada kaunter paling untung, saham Nestle (Malaysia) Berhad masih mengekalkan kedudukannya dengan lonjakan 80 sen ketika ditutup kepada RM134.

 

Seperti diramalkan firma penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd, para pelabur akan terus memerhatikan perkembangan pelantikan Perdana Menteri baharu bagi membuat keputusan pelaburan mereka. 

 

Setakat perkembangan politik petang ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan 114 Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - DagangNews.com