Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Mei - Pasaran saham tempatan hanya mampu melonjak kurang daripada satu mata pada dagangan pagi ini ekoran tiada pemangkin pembelian dalam kalangan pelabur.
Ketika dibuka pada 9 pagi ini, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI hanya menokok 0.34 mata kepada 1,578.67 daripada paras yang ditutup pada petang semalam, 1,578.33.
Namun, setelah 18 minit didagangkan, indeks itu menyusut semula kepada 1,576.11.
Dagangan pada pagi ini juga berprestasi agak negatif apabila jumlah kaunter rugi iaitu 251 mengatasi 239 kaunter untung.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan terus didagangkan dalam jajaran yang terhad hari ini.
“Saham-saham melonjak semula selepas tengah hari semalam terutamanya didorong oleh aktiviti pemburuan saham murah.
“FBM KLCI berakhir 2.66 mata lebih tinggi untuk ditutup pada 1,578.33.
"Kami menjangkakan pasaran tempatan akan kekal dalam mod penyatuan kerana kurangnya pemangkin dan menjangkakan FBM KLCI akan berlegar dalam julat 1,575 hingga 1,585,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Sementara itu, beberapa indeks utama di peringkat pasaran serantau berakhir positif semalam selepas saham di Amerika Syarikat (AS) melonjak. - DagangNews.com