KLCI, ringgit raih pemangkin | DagangNews Skip to main content

KLCI, ringgit raih pemangkin

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 2 April - Pasaran tempatan menokok petang ini menjejaki pasaran serantau Asia yang lain di tengah-tengah pelan infrastruktur Presiden AS Joe Biden yang memberi keyakinan ke arah rangsangan ekonomi.

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI mengakhiri minggu ini dengan ditutup 0.17% lebih tinggi kepada 1,585.35 mata. 

 

Keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 621 berbanding 407 manakala 443 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 6.62 bilion bernilai RM2.92 bilion, lebih rendah berbanding semalam sebanyak 7.92 bilion bernilai RM3.71 bilion. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran tempatan meraih manfaat daripada lonjakan kaunter Top Glove sehingga 2.4% memandangkan tiada isu tambahan berkaitan penggunaan buruh paksa dengan beberapa penilaian dilakukan di peringkat awal.

 

"Sentimen bagi Top Glove pula sebahagiannya dibantu oleh 25 laporan baharu mengenai pembekuan darah yang jarang berlaku dikaitkan dengan vaksin COVID-19 AstraZeneca Plc yang dilaporkan kerajaan United Kingdom," katanya kepada DagangNews.com

 

Dari segi sektor, katanya, indeks teknologi merekodkan keuntungan yang tinggi dengan peningkatan 2.4%. 

 

Mengulas mengenai pasaran pada minggu hadapan, beliau berkata, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat antara 1,590 dan 1,600 mata.

 

Tetapi, ia mungkin boleh melepasi paras rintangan 1,600 mata sekiranya terdapat perkembangan positif mengenai vaksin yang dihadapi di Eropah, ulas beliau.

 

"Pasaran minggu hadapan dijangka dipacu oleh sektor berkaitan pertumbuhan ekonomi seperti pengeluaran perndustrian, perkhidmatan kewangan dan minyak dan gas," katanya.

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit dijangka berdepan aliran penurunan pada julat antara RM4.13 hingga RM4.15 berbanding dolar AS. 

 

Ini memandangkan dolar AS semakin mengukuh didorong data ekonomi terutamanya kadar pengangguran yang rendah pada Mac dan peluang pekerjaan di negara ekonomi utama itu. 

 

"Keadaan ini akan terus disokong oleh pentadbiran Biden yang mahu melancarkan pelan rangsangan bernilai lebih AS$2 trilion," katanya.

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.1370/1410 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.1440/1470. - DagangNews.com