Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Sentimen negatif yang berlarutan kekal mempengaruhi prestasi pergerakan pasaran saham tempatan.
Kebimbangan terhadap pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong pelabur untuk menjual beberapa ekuiti pada awal dagangan hari ini.
Namun, indeks pasaran saham tempatan masih berada di atas paras 1,600, pergerakan dagangan yang lebih baik jika dibandingkan sekitar Mac pada tahun lalu.
Setakat 9 pagi, FBM KLCI susut 5.97 mata untuk dibuka pada kadar 1,627.22 daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,633.19.
Indeks itu terus merudum ke paras 1,613.51 setakat 9.53 pagi, menjadikan jumlah mata yang susut mencecah lebih 19 mata.
Menurut Rakuten Trade Research, FBM KLCI dijangka berdepan kelemahan dagangan hari ini susulan peningkatan kes COVID-19.
“Oleh itu kami menjangkakan indeks penanda aras akan didagangkan lebih rendah dan mungkin menguji paras 1,620/25.
“Bagi perkembangan positif, harga minyak terus melonjak dengan Brent kini berlegar melebihi AS$56 setong,” kata Rakuten Trade dalam nota kajiannya.
Senada Rakuten Trade, firma penyelidik, CGS-CIMB Research menjangkakan niaga hadapan FBM KLCI akan dibuka tidak menentu selepas terdapat lonjakan margin di Wall Street.
Ini susulan Joe Biden berhasrat untuk memperhalusi rancangan bagi bantuan kewangan ekonomi di Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com