Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Pasaran saham tempatan memulakan dagangan pada minggu kedua bulan ini dengan lonjakan yang sedikit.
Didorong oleh peningkatan rata-rata saham serantau, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI mampu menokok 1.81 mata ketika dibuka pada 9 pagi ini.
Ini membantu FBM KLCI untuk mencecah 1,580.44 daripada paras yang ditutup pada minggu lalu, 1,578.63.
Namun, kurangnya pemangkin yang kukuh untuk mendorong indeks itu mencecah paras rintangan 1,600 menyebabkan FBM KLCI hanya mampu didagangkan dalam jajaran terhad.
Menurut Rakuten Trade Research, ketidaktentuan urus niaga akan sekali lagi mendominasi pasaran ekuiti tempatan memandangkan FBM KLCI menyaksikan penjualan lewat pada Jumaat lalu.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan terdapat sedikit kestabilan pada pasaran hari ini memandangkan kedua-dua eksport terbesar negara dalam harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah mencecah paras yang kukuh.
“MSM ditutup dengan paras RM4,000 setiap tan metrik, manakala mentah Brent kini menuju paras AS$60 setong,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Tambah Rakuten Trade, tanpa ketidaktentuan di kaunter sarung tangan, pihaknya menjangkakan FBM KLCI bakal menguji paras 1,590 hari ini.
Di peringkat global pula, data pekerjaan yang lebih teruk daripada jangkaan telah mencetuskan harapan pakej rangsangan baharu di Amerika Syarikat (AS).
Ini memandangkan Wall Street ditutup pada paras tinggi baharu pada Jumaat lalu, jelas Rakuten Trade.
“Dow Jones Industrial Average berakhir 92 mata lebih tinggi menghampiri 31,150 sementara kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq berakhir pada paras baharu sekali lagi,” jelasnya. - DagangNews.com