KLCI terima tempias, harga minyak jatuh lebih 7% | DagangNews Skip to main content

KLCI terima tempias, harga minyak jatuh lebih 7%

KLCI

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Mac. - Pasaran Asia termasuk Malaysia memulakan dagangan pada prestasi kurang memberangsangkan berbanding semalam.

 

Dalam penutupan dagangan semalam, indeks utama FBM KLCI mengakhiri dagangan pada 1,627.99 setelah menokok 3.02 mata.

 

Ia didorong oleh kehadiran pakej rangsangan terbaharu iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS). 

 

Bagaimanapun, indeks berkenaan mencatatkan penurunan ketika dibuka awal pagi ini.

 

FBM KLCI dibuka pada paras 1,625.59 setelah mencatatkan penurunan 2.40 mata.

 

Menurut Blooberg, keseluruhan pasaran saham Asia lemah susulan kejatuhan saham AS selain penurunan harga minyak serta hasil perbendaharaan yang mencapai tahap tertinggi lebih dari setahun.

 

Harga minyak mentah mencatatkan penurunan lebih daripada 7% pada Khamis disebabkan oleh kebimbangan kewujudan virus baharu di Eropah sekali gus akan mengurangkan permintaan.

 

Hasil perbendaharaan AS stabil setelah mencatatkan lonjakan sekali gus mendorong penanda aras 10 tahun beralih kepada 1.75% buat pertama kalinya sejak Januari 2020.

 

Pasaran saham turut dibuka rendah di negara Jepun, Korea Selatan dan Australia.

 

Indeks Nasdaq 100 jatuh 3.1% dan Indeks S&P 500 jatuh 1.5%.

 

Sementara itu, Rakuten Trade Research bagaimanapun telah menjangkakan prestasi penurunan yang melanda pasaran tempatan hari ini.

 

Katanya, FBM KLCI hari ini dijangka mengalami beberapa kelemahan seiring dengan pasaran serantau.

 

"Oleh itu, kami yakin indeks berlegar pada tahap 1,620 hari ini dengan sokongan yang lebih bermakna di sekitar julat 1,610/15," ujar Rakuten Trade Research. - DagangNews.com