KLCI terus merosot, saham SBAGAN, Vitrox, Heineken paling rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI terus merosot, saham SBAGAN, Vitrox, Heineken paling rugi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Sentimen positif yang kian pudar berkemungkinan menjadi antara punca pasaran tempatan terus mencatatkan kemerosotan pada penutupan petang ini. 

 

Indeks penanda aras, FBM KLCI berakhir 5.84 mata lebih rendah kepada 1,570.13 daripada penutupan petang Jumaat, pada minggu lalu iaitu 1,575.97 dengan 3.997 bilion saham didagangkan. 

 

Pergerakan negatif ini diheret turun oleh kaunter penjagaan kesihatan, tenaga, produk perindustrian, perkhidmatan kewangan dan telekomunikasi. 

 

Walaupun indeks penanda aras tersebut mungkin ‘tewas’ kepada aktiviti pengambilan keuntungan, namun firma penyelidikan, HLIB Research percaya pasaran tempatan akan bertahan memandangkan masih terdapat harapan risiko politik negara akan terus mereda di samping pembukaan semula ekonomi yang meraih momentum.

 

Secara keseluruhannya, dagangan pada petang ini berakhir negatif apabila jumlah kaunter rugi jauh mengatasi jumlah kaunter untung, pada perbandingan 669 daripada 361 dengan 444 kaunter tidak berubah dan 783 lagi tidak didagangkan. 

 

Petang ini, saham Sungei Bagan Rubber Company (Malaya) Berhad tercorot apabila ditutup 42 sen lebih rendah kepada RM3.49.

 

Turut merasai impak negatif itu adalah saham Vitrox Corporation Berhad dan Heineken Malaysia Berhad, di mana masing-masing berakhir 34 sen dan 32 sen lebih rendah. 

 

Sementara, saham Genetec Technology Berhad pula berakhir paling untung, dengan lonjakan RM1.16 kepada RM33.06. 

 

Menariknya, saham BSL Corporation Berhad terus mencatatkan lonjakan sehingga penutupan petang ini walaupun menerima teguran secara terbuka daripada Bursa Malaysia berhubung kenaikan mendadak dalam harga dan jumlah sahamnya. 

 

Baca : Bursa Malaysia minta BSL perjelas kenaikan mendadak harga, jumlah saham kumpulan

 

Saham BSL ditutup 44 sen kepada RM1.92 dengan 233,360 jumlah saham yang bertukar tangan. 

 

Beralih kepada kaunter paling rancak, saham KNM Group Berhad masih menjadi tumpuan para pelabur, namun ditutup 2 sen lebih rendah kepada 28 sen. 

 

Turut menonjolkan aksi serupa adalah saham Serba Dinamik Holdings Berhad yang menyusut 1.5 sen ketika ditutup kepada 37 sen dengan 578,359 saham bertukar tangan. - DagangNews.com