KLCI teruskan momentum kukuh, melonjak lebih 11 mata petang ini | DagangNews Skip to main content

KLCI teruskan momentum kukuh, melonjak lebih 11 mata petang ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pasaran tempatan berakhir tinggi petang ini dengan melepasi paras 1,600 mata didorong pelbagai perkembang positif terutama kemelut politik yang semakin reda dan keyakinan terhadap pembukaan semula ekonomi. 

 

Indeks utama FBM KLCI ditutup 11.22 mata atau 0.71% kepada 1,601.38 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,592.1 hingga 1604.9 mata sepanjang hari ini.

 

Public Investment Bank Research berkata, KLCI mungkin diniagakan tinggi selepas pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dan bon kerajaan meningkat susulan kenyataan pengerusi Rizab Persekutuan AS bahawa bank pusat akan memulakan secara perlahan-lahan menutup langkah pemulihan menjelang hujung tahun ini. 

 

Susulan itu, menurut Reuters, kebanyakan pasaran saham Asia hari ini terutama Indonesia, India dan Singapura mencatat keuntungan berikutan ucapan beliau ketika Simposioum Jackson Hole minggu lalu. 

 

Bagi bursa tempatan, keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 537 berbanding 503 manakala 460 tidak berubah dan 746 kaunter tidak diniagakan. 

 

Ia menyaksikan 4.34 bilion saham bertukar tangan bernilai RM3.67 bilion. 

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Gas Bhd. ditutup 54 sen lebih tinggi kepada RM16.80 diikuti Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menokok 21 sen kepada RM6.63. 

 

Bagi kaunter aktif pula, saham Bintai Kinden Corp. Bhd. diniagakan paling rancak dengan menokok 10.5 sen atau 28% kepada 48 sen. 

 

Turut jadi tumpuan termasuklah saham Ta Win Holdings Bhd. naik 1 sen kepada 7 sen, Hiap Teck Ventures Bhd. naik 3.5 sen kepada 58 sen dan AE Multi Holdings Bhd. naik 0.05 sen kepada 4.5 sen. 

 

Bagi kaunter untung pula, saham Genetec Technology Bhd. mendahului dagangan meningkat RM2 kepada RM31.10. 

 

Ini diikuti dengan saham Dutch Lady Milk Industries Bhd. menokok RM1.78 kepada RM35.18 dan Khind Holdings Bhd. naik 91 sen kepada RM3.96. 

 

Sebaliknya, saham KESM Industries Bhd. mendahului kaunter rugi susut 40 sen kepada RM12.28 diikuti HengYuan Refining Company Bhd. susut 35 sen kepada RM4.12. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup tinggi pada RM4.1570/1620 berbanding dolar AS, daripada penutupan Jumaat pada RM4.1890/1930. - DagangNews.com