Knight Frank : Pasaran hartanah kekal lemah tahun ini | DagangNews Skip to main content

Knight Frank : Pasaran hartanah kekal lemah tahun ini

 

 


KUALA LUMPUR 19 Julai - Pasaran hartanah kediaman di negara ini akan terus berada 'dalam keadaan pembetulan' di tengah-tengah situasi pandemik COVID-19 yang mencabar.

 

Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam berkata, pada separuh pertama tahun ini tidak banyak unit yang dibina dan dilancarkan susulan langkah-langkah sekatan telah menangguhkan kerja pembinaan, penyampaian projek termasuk urus niaga hartanah. 

 

Katanya, bagi pasaran sekunder, tiada tontonan hartanah dan tinjauan di lokasi yang dibenarkan sejak Jun lalu.

 

"Pada separuh pertama tahun ini, pasaran kondominium mewah di Kuala Lumpur terus menjalani pembetulan harga berikutan kejatuhan dalam permintaan dan kenaikan inventori, baik yang sedia ada atau yang baru dibina. 

 

"Begitu juga, dalam pasaran yang diterajui penyewa, sewa kekal di bawah tekanan disebabkan permintaan pajakan yang lebih lemah," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Menurut beliau, memandang ke hadapan, masih terdapat peluang berdasarkan kepada usaha vaksinasi yang dipercepatkan bagi membolehkan pembukaan semula sektor ekonomi secara beransur-ansur di bawah Pelan Pemulihan Negara.

 

"Penyambungan semula dan permulaan pembangunan mega yang baharu, disokong oleh infrastruktur yang lebih baik, akan merancakkan aktiviti ekonomi selain membantu memulihkan pasaran hartanah," katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Perunding Hartanah, Keith Ooi melihat permintaan mampu meningkat di pasaran perumahan, dibuktikan oleh pemulihan dalam aktiviti pasaran apabila perintah sekatan pergerakan ditarik balik buat sementara waktu. 

 

Kempen pemilikan rumah (HOC) telah berjaya mengurangkan harta tanah siap dibina tetapi tidak terjual dengan anggaran 34,354 unit kediaman yang dijual, bernilai RM25.65 bilion, dari 1 Jun 2020 hingga 28 Februari 2021. 

 

"Bagi baki tahun ini, kami percaya minat keseluruhan dalam sektor kediaman mungkin kekal tertangguh sehingga krisis kesihatan semasa menjadi lebih terkawal," jelasnya.

 

Beliau berkata, ekonomi masih dalam fasa kemelesetan dan keyakinan pasaran dijangka kembali secara beransur-ansur menjelang awal 2022 disebabkan mood pembeli dan pembiaya yang optimistik tetapi berhati-hati. - DagangNews.com