KUALA LUMPUR 5 Nov - Kobay Technology Bhd. bercadang melaksanakan penempatan persendirian sehingga 10% daripada saham terbitannya untuk mengumpul RM153.14 juta.
Menurut RHB Investment Bank Bhd. yang mewakili pihak syarikat dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Kobay merancang menggunakan hasil yang dikumpulkan itu terutamanya untuk membiayai kilang pembuatan produk aluminium baharunya.
Selain itu, katanya, ia juga akan digunakan pembayaran balik sebahagian pinjaman bank dan sebagai modal kerja bagi bahagian pembuatan kumpulan berkenaan.
“Sehingga 29 Oktober 2021, syarikat itu mempunyai modal saham terbitan sebanyak RM102.103 juta, terdiri daripada 306.28 juta saham Kobay," katanya.
Jelasnya, lembaga pengarah menjangkakan cadangan penempatan persendirian ini dijangka selesai pada suku pertama 2022, sekiranya tidak sebarang perkara di luar jangkaan dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan.
Kumpulan Kobay terlibat dalam pembuatan komponen mesin ketepatan, bahagian kepingan logam, rawatan permukaan, acuan ketepatan, perkakas dan acuan, peralatan pemasangan dan ujian semikonduktor, kerja dan struktur logam, modul dan bahagian untuk peralatan pengeluaran dan pengekstrakan minyak dan gas.
Kobay turut merancang menceburi ke dalam pembuatan produk aluminium seperti bingkai aluminium untuk panel solar bagi kegunaan perniagaan berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
Pada 28 Oktober lalu, kumpulan mengumumkan telah melengkapkan pengambilalihan sebidang tanah pajakan sementara yang akan tamat tempoh pada 3 Oktober 2042 dan berkeluasan hampir 15.13 ekar di Mukim 1, Seberang Perai, Tengah bersama dengan bangunan gudang satu tingkat dan bangunan lain yang didirikan di atasnya dengan harga belian hampir RM33.09 juta. - DagangNews.com