Kobay Technology fokus kepada perniagaan membekal komponen mekanikal | DagangNews Skip to main content

Kobay Technology fokus kepada perniagaan membekal komponen mekanikal

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Kobay Technology Berhad akan terus memberi fokus kepada keupayaan teras dalam membekalkan komponen mekanikal untuk pelayan data termaju (ADV) dan tempahan untuk produk berkenaan kekal tinggi untuk tempoh tiga bulan akan datang.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pada masa sama mereka juga giat mencari peluang perniagaan baharu untuk memanfaatkan pemasangan teknologi pelekap permukaan (SMT)

 

"Kumpulan itu menjangka pengembangan FY23 sebahagian besarnya didorong oleh pertumbuhan dalam perniagaan teras dengan sasaran yang ditetapkan antara 50% hingga 80%.

 

"Segmen perniagaan baharu (solar dan perkhidmatan pembuatan elektronik) akan menjadi bonus tambahan kepada kumpulan. 

 

"Pembangunan hartanah dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan penyiapan projek Langkawi menjelang akhir 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM11.94 juta untuk suku keempat berbanding RM8.51 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Hasil meningkat 103.2% kepada RM95.2 juta pada 4QFY22 berbanding RM46.8 juta yang dicatatkan setahun lalu.

 

Aktiviti perkilangan, terutamanya kejuruteraan dan komponen berketepatan tinggi, menyumbang RM63.8 juta hasil 4QFY22.

 

Pertumbuhan 44.3% disumbangkan oleh permintaan kukuh daripada industri semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E).

 

Firma itu berkata, kumpulan itu telah menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian dan pemasangan kilang baharu seluas 6.07 hektar khusus untuk perniagaan berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

 

Difahamkan, berlaku kelewatan untuk kelulusan pihak berkuasa dan mereka masih menunggu sambungan elektrik daripada naik taraf pencawang kuasa oleh TNB sebelum meneruskannya.

 

"Berdasarkan maklumat terkini mengenai EMS dan perniagaan solar kumpulan, kami menyemak turun unjuran pemdapatan bagi FY23-25 sebanyak -19.2%, -13.4% dan 12.7% masing-masing.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM4.94," katanya. - DagangNews.com