Kolaborasi MINDEF, swasta bangunkan Projek Perumahan SASar ATM bina 7,374 kediaman bernilai RM2.4 bilion | DagangNews Skip to main content

Kolaborasi MINDEF, swasta bangunkan Projek Perumahan SASar ATM bina 7,374 kediaman bernilai RM2.4 bilion

Projek Perumahan SASar ATM bagi menyediakan kediaman kepada warga MINDEF di Kuala Lumpur.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 10 Nov - Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kolaborasi swasta akan membangunkan Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 7,374 unit rumah di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Setapak.

 

Ini bagi memberi peluang kepada anggota ATM, veteran dan warga kerja awam di kementerian tersebut untuk memiliki kediaman yang selesa di Kuala Lumpur. 

 

Kos pembinaan bagi perumahan SASaR ATM ini yang menelan belanja sebanyak RM2.4 bilion dibiayai sepenuhnya oleh pemaju iaitu Platinum Victory Development Sdn. Bhd.

 

Ia dibangunkan di kawasan seluas 32 ekar bagi SASar di Kem Genting Klang manakala 6.5 ekar di Kem Wardieburn.

 

Rumah

 

Projek perumahan SASaR ATM Wardieburn melibatkan pembinaan 974 buah unit kediaman berkeluasan 130 dan 139 meter persegi. 

 

Sebanyak 6,400 unit kediaman pula akan dibina bagi projek SASaR ATM Setapak dengan keluasan antara 92 sehingga 111 meter persegi. 

 

Projek ini dijangka siap secara berfasa mulai tahun 2026.

 

Inisiatif MINDEF bagi menyediakan kediaman yang kondusif dan selesa ini adalah selaras dengan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) serta Pelan Strategik MINDEF 2021-2025.

 

Rumah

 

Rumah

 

Bagi SASaR Wardieburn, terdapat kemudahan tambahan seperti kolam renang, gimnasium dan dua lot parkir bagi setiap rumah.

 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan projek perumahan ini di Kem Wardieburn.

 

Hadir sama Menteri Pertahanan, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

 

Rumah

 

Pada Julai lalu, MINDEF meluluskan pembangunan tanah seluas 24 hektar di Mukim Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi kem, kuarters dan pusat latihan baru bagi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD)

 

Projek menelan kos RM232.9 juta ini melibatkan pembangunan semula Pusat Latihan KPTD di Kem Genting Klang yang berpindah sebagai timbal balas daripada Projek SASaR ATM yang telah diluluskan.- DagangNews.com