Kolej UCSI, DJI Academy bekerjasama sediakan kursus kemahiran berkaitan dron | DagangNews Skip to main content

Kolej UCSI, DJI Academy bekerjasama sediakan kursus kemahiran berkaitan dron

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kolej UCSI menjalinkan kerjasama dengan DJI Academy Selangor bagi menyediakan kursus kemahiran berkaitan dron.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UCSI, Profesor Madya Dr. Mabel Tan Hwee Joo berkata, teknologi dron semakin mendapat tempat dalam [pelbagai industri termasuk sektor keselamatan, pertanian dan kejuruteraan. 

 

Beliau berkata, kemahiran mengendalikan dron bukan sekadar hobi tetapi sudah berubah menjadi antara keperluan penting dalam pelbagai industri kritikal di seluruh dunia.

 

“Dari sektor pertanian hingga ke kejuruteraan, dron digunakan secara meluas dan sudah tentu ia perlu dikendalikan oleh individu yang berkelayakan.

 

"Kami mengambil inisiatif membuka ruang kerjasama dengan akademi latihan dron terbesar di Malaysia, DJI Academy Selangor untuk menyediakan kemahiran berkaitan teknologi dron ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

UCSI dan DJI Academy akan menawarkan kursus melalui program pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh (ODL) serta ‘micro-credential’ dalam teknologi dron secara komprehensif kepada pelajar mahupun profesional yang sudah bekerja sebagai ruang untuk mereka menambah kemahiran ataupun meningkatkan kemahiran sedia ada.

 

Antara kursus yang ditawarkan termasuk fotografi udara, latihan pengendalian Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dan penyelenggaraan UAS.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DJI Academy, Jude Low Hong Giap berkata, kursus yang ditawarkan itu sesuai bagi individu yang mahu membangun kemahiran khusus berkaitan dron.

 

“Program ini akan membantu individu kekal ada pekerjaan, beradaptasi dan kompetitif.

 

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UCSI dan untuk memenuhi keperluan masa hadapan, kita pastinya akan sediakan lebih banyak program latihan yang sesuai,” katanya. - DagangNews.com