Kolej UNITI, Universiti Pertanian Bogor jalin kerjasama bidang halal   | DagangNews Skip to main content

Kolej UNITI, Universiti Pertanian Bogor jalin kerjasama bidang halal  

Amir Hamzah Md Isa (empat dari kiri) dan Prof. Arif Satria menunjukkan dokumen perjanjian kerjasama UNITI dan IPB di Jakarta pada 23 Ogos 2022.
oleh AHMAD SYAKIR MOHAMAD SAZILI

JAKARTA 23 Ogos  –  Kolej UNITI Port Dickson dan Institut Pertanian Bogor (IPB) University hari ini secara rasmi menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan sumber manusia dan dan latihan berkaitan halal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, menerusi kerjasama itu kedua-dua institusi pendidikan tinggi (IPT) akan berkongsikan kepakaran serta pengalaman sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global.

 

Katanya, Kolej UNITI Port Dickson yang merupakan IPT pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian halal secara formal, Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013 akan berkongsi pengalaman dalam pensijilan halal Malaysia dan pembangunan talen industri halal.

 

"Sebagai antara universiti terbaik di Indonesia, IPB University pula bakal menawarkan kepakaran dalam bidang penyelidikan berkaitan halal," katanya semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua IPT berkenaan di Kampus IPB University di Bogor, Jawa Barat hari ini.

 

Pada majlis itu, IPB University diwakili Rektor, Prof. Arif Satria dan Pengarah Pusat Sains Halal, Prof. Dr. Ir Khaswar Syamsu manakala Amir Hamzah dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC), Muhammad Elyas Harun mewakili Kolej UNITI Port Dickson.

 

Hadir sama, Setiausaha Pertama (Pendidikan) Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Mohd Mubarak Shamsuddin dan Atase Pendidikan, Zulfadhli Hamzah.

 

Memorandum persefahaman tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua IPT melaksanakan program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar serta pertukaran pelajar dalam bidang berkaitan.


 

Amir Hamzah Md Isa
           Amir Hamzah Md Isa

 


Amir Hamzah berkata, pemilihan Kolej UNITI Port Dickson yang menerima penarafan MyQuest terbilang 6 bintang (2016/2017) sebagai rakan strategik merupakan satu pengiktirafan memandangkan IPT terbabit merupakan Penyedia Latihan Halal (PLH) yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

"Sejak 2013, Kolej UNITI telah melahirkan ribuan graduan bidang halal. UHAC juga sehingga ke sehingga ke hari ini sudah melatih eksekutif-eksekutif halal kompeten yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa," katanya.

 

Tambah Amir Hamzah, sebagai sebuah IPTS milikan penuh Bumiputera yang berdaya maju dan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kualiti dan kecemerlangan institusi serta kemenjadian mahasiswa, kolaborasi Kolej UNITI dan IPB University ini merupakan titik permulaan pengembangan agenda pengantarabangsaan IPT berkenaan untuk bangkit lebih kuat selepas cabaran pandemik Covid-19.

 

Dalam pada itu, Prof. Arif berkata, beliau berkeyakinan sinergi kedua-dua IPT terbabit akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri halal tempatan di Malaysia dan Indonesia tetapi juga di peringkat antarabangsa.


 

Prof. Arif Satria
                       Prof. Arif Satria

 


“IPB University melalui Pusat Sains Halal mempunyai kepakaran yang meluas dalam penyelidikan dan pensijilan halal Indonesia. Penubuhan pusat penyelidikan halal baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023 di kampus ini merupakan bukti komitmen IPB University untuk terus menerajui bidang halal di republik ini.

 

“Justeru, pengalaman dan juga kepakaran Kolej UNITI sejak sedekad lalu dalam menawarkan program pengajian halal akan menjadikan kerjasama ini sebagai lebih berfokus dan memberi impak kepada industri halal global,” katanya. 

 

Sementara itu, Mohd Mubarak berkata, inisiatif Kolej UNITI Port Dickson menjalinkan kerjasama bersama IPT terkemuka di republik itu wajar dicontohi.

 

"Jalinan kerjasama dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua IPT ini bukan sahaja membantu meningkatkan keupayaan masing-masing tetapi pada masa sama, membantu mengembangkan potensi halal dalam kalangan industri tempatan dan serantau.


 

Mohd Mubarak Shamsuddin
        Mohd Mubarak Shamsuddin

 


"Pastinya, saiz dan status antara IPT bukan halangan untuk berkolaborasi. Pihak Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta mengalu-alukan usaha sebegini dan berharap sinergi Kolej UNITI Port Dickson dan IPB University akan berkekalan," katanya.

 

Ketika ini, seramai lebih 100 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di IPB University dalam bidang veterinar manakala terdapat kira-kira 20 pelajar Indonesia telah menamatkan pengajian dan juga masih mengikuti program Diploma Pengurusan Industri Halal di Kolej UNITI Port Dickson. – DagangNews.com