IPOH 2 Okt - Komik pertama karya Seniman Diraja, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat yang berjudul 'Tiga Sekawan Menangkap Pencuri' berjaya dijual hampir RM4,000 dalam satu bidaan atas talian.
Lat menghasilkan komik ini pada tahun 1964 ketika berusia 13 tahun dan diterbitkan oleh syarikat penerbitan Sinaran Brothers dengan menerima bayaran RM25.
Harga asal komik ini semasa diterbitkan ketika itu ialah 35 sen.
Buku komik berusia 59 tahun itu dibeli seorang pengumpul yang dikenali dengan nama WMK Izzad pada harga RM3,888 menerusi satu sesi bidaan dalam laman Facebook.
Berdasarkan carian di media sosial, WMK Izzad merupakan seorang guru yang menetap di Terengganu dan mempunyai banyak koleksi buku atau komik-komik lama.
Bidaan dalam laman Facebook Kolektor Buku2 Semalaysia itu dilakukan oleh salah seorang ahlinya yang menggunakan nama Ross Limbong berasal dari Alor Setar, Kedah.
Sesi bidaan yang berlangsung kira-kira 5 jam pada Sabtu berakhir pada pukul 9.59 malam dengan hampir 600 pembida.
Buku dalam keadaan kondisi terpakai dengan muka tengahnya tertanggal dari stapler mula dibida pada harga RM1 dengan kenaikan secara bebas sehingga tamat masa bidaan.
Sesi bidaan hangat apabila pembida yang kebanyakannya merupakan pencinta dan pengumpul buku persendirian saling bersaing hingga tawaran meningkat kepada RM1,000, RM2,000 dan RM3,000.
Bagaimana pun, tidak dapat dipastikan adakah bidaan komik Lat ini merupakan nilai paling tinggi di Malaysia untuk sesebuah karya tempatan.
Salinan komik ini ada dipamerkan pada Galeri dan Rumah Lat di Bemban, Batu Gajah yang dibuka Julai lalu bersama lain-lain karya kartunis tersebut.
Bidaan komik atau buku lama sehingga mencecah harga ribuan ringgit adalah biasa dalam kalangan pencinta buku terutamanya di luar negara.
Di Washington, Amerika Syarikat tahun lalu, naskhah lama yang menyaksikan watak Batman muncul buat kali pertama dalam komik diterbitkan pada 1939 dilelong dengan rekod bidaan AS$1.74 juta.
Satu salinan komik Marvel mencatat sejarah apabila dijual pada harga AS$2.4 juta dalam satu sesi lelongan tahun lalu.
Marvel Comics No.1, yang diterbitkan pada tahun 1939 merupakan salinan yang jarang ditemui dan sangat bernilai kerana ia dikenali sebagai salinan berbayar.
Seorang pengumpul persendirian 12 tahun lalu dilaporkan membayar lebih AS$1.1 juta untuk mendapatkan komik Spiderman 'Amazing Fantasy No 15'.- DagangNews.com