KUALA LUMPUR 21 Feb - KPower Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, KPower Engineering Sdn. Bhd. memperoleh projek bernilai RM70 juta daripada One River Power Sdn. Bhd. (ORP) bagi mengambil alih dan menyiapkan pembinaan loji tenaga hidro kecil di Sabah.
Kontrak bagi kerja-kerja kejuruteraan, reka bentuk, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) itu diperoleh bersama konsortiumnya, Tellhow International Engineering & Contracting Co., Ltd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Projek tenaga hidro ini yang mempunyai jumlah kapasiti 29.1 MW ini terletak di Sungai Bengkoka Upper, Sungai Bengkoka Lower dan Sungai Togohu di Kota Marudu.
"Skop kontrak ini termasuklah menyiapkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliah projek berkenaan.
"Selain itu, ia juga termasuk menjalankan pengujian, pentauliahan dan penyediaan semua peralatan, kedua-dua bagi kerja tetap dan kerja sementara berkaitan dengan projek," katanya.
KPower Engineering terutamanya terlibat dalam aktiviti berkaitan pembinaan dan khusus dalam perkhidmatan kejuruteraan berkaitan tenaga mampan dan utiliti.
Tellhow, pula adalah anak syarikat Tellhow Sci-Tech Co., Ltd, sebuah syarikat tersenarai di Shanghai Stock Exchange dengan permodalan pasaran CNY5.99 bilion (bersamaan kira-kira RM3.96 bilion) pada 18 Februari 2022.
Ia terlibat terutama dalam bandar pintar dan projek berkaitan tenaga pintar dengan menyediakan penyelesaian tenaga bersepadu secara global.
ORP ialah anak syarikat OHP Ventures Sdn. Bhd., yang ditubuhkan untuk melaksanakan pembangunan projek.
KPower menjangkakan kontrak itu menyumbang secara positif kepada aset bersih, pendapatan disatukan dan pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 hingga 30 Jun 2023.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakim Mat Nun berkata, kerjasama itu mengukuhkan lagi pembabitan kumpulan dalam ruang tenaga diperbaharui.
Katanya, kerjasama ini juga memberikan KPower platform berharga untuk memanfaatkan pengalaman Tellhow bagi meningkatkan penyelesaian kejuruteraan dan penawaran produk kumpulan dalam segmen utiliti dan infrastruktur di Asia Tenggara.
"Selain daripada EPCC ini, KPower dengan kerjasama Tellhow juga sedang meninjau untuk berkembang dalam bidang lain yang akan membolehkan kumpulan memanfaatkan kepakaran Tellhow dalam aplikasi teknologi bagi projek berkaitan bandar pintar dan juga segmen sistem mudah alih dan kuasa seperti sistem penyimpanan tenaga dengan panel solar PV atas bumbung," katanya.- DagangNews.com