Kontinjen ATM sertai Istiadat Pertabalan Raja Charles III di London | DagangNews Skip to main content

Kontinjen ATM sertai Istiadat Pertabalan Raja Charles III di London

FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) diberi penghormatan apabila menerima jemputan menyertai pasukan negara-negara Komanwel dalam perbarisan sempena Istiadat Pertabalan Raja Charles III di London, United Kingdom (UK).

 

Kontinjen ATM diwakili Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang juga merupakan salah satu batalion infantri istiadat dalam Tentera Darat (TD).

 

Jemputan untuk menyertai istiadat yang bersejarah ini merupakan satu pengiktirafan kepada ATM dan TD khasnya serta mengharumkan nama negara 

 

Istiadat Pertabalan Raja Charles III, Pemerintah Tertinggi UK di Istana Buckingham ini akan berlangsung pada Sabtu ini.

 

Istiadat dilaksanakan sebagai simbolik dan pengiktirafan kepada Raja Charles III yang juga raja untuk 14 buah negara Komanwel lain sejak menaiki takhta pada 22 September lalu. 


 

ATM
Sebahagian daripada  kontinjen 1 RAMD yang menyertai Istiadat Pertabalan Raja Charles III di London.

 


Kontinjen 1 RAMD ini melibatkan dua orang pegawai dan 10 anggota lain-lain pangkat yang telah berlepas pada 27 April lalu untuk menjalani latihan serta raptai.

 

Walaupun pun tidak dinyatakan tetapi dianggarkan istiadat ini menelan kos keseluruhan kira-kira AS$125 juta.

 

Bagaimana pun, istiadat penuh bersejarah mengikut tradisi Inggeris ini bakal memberi pulangan lebih besar kepada negara itu khususnya melalui pelancongan.

 

Kali terakhir Istiadat Pertabalan Pemerintah Tertinggi UK ini dilaksanakan ialah pada 2 Jun 1953 ketika pertabalan Ratu Elizabeth Il melibatkan semua negara Komanwel.

 

Pertabalan Ratu Elizabeth II menelan kos £1.5 juta pada tahun 1953 atau kira-kira £50 juta mengikut nilai sekarang.


 

parafrasa

 


Sementara itu Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan lawatan khas ke London bagi menghadiri upacara pertabalan Raja Charles III.

 

Lawatan hingga 14 Mei ini turut disertai Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

 

“Baginda berdua dijemput hadir oleh Raja Charles III bagi menghadiri upacara pertabalan di Westminster Abbey pada Sabtu ini.

 

“Baginda berdua juga berkenan untuk menghadiri Majlis Resepsi yang dihoskan Baginda Raja Charles III di Istana Buckingham.

 

“Lawatan khas itu juga amat signifikan dalam konteks penyatuan hubungan sedia ada serta akrab yang dikongsi antara Malaysia dan Britain,” kata kenyataan tersebut.


 

ATM
Anggota 1 RAMD bertugas di Istana Buckingham semasa menyertai Tugasan Awam London pada 2008.

 


Pada Jun tahun lalu, ATM dijemput menyertai Sambutan Ulang Tahun ke-70 sempena Pemerintahan Ratu Britain, Ratu Elizabeth II yang berlangsung di kota London.

 

Kontinjen daripada 1 RAMD itu terdiri daripada seorang pegawai dan 10 anggota mewakili ATM bagi menyertai perbarisan yang turut disertai kontinjen 20 negara Komanwel.

 

Ratu Elizabeth II meraikan sambutan ulang tahun ke-70 pemerintahan baginda sekali gus menjadi raja paling lama berada di atas takhta di UK.

 

Imbas kembali, Batalion 1 RAMD Istiadat mencipta sejarah tersendiri apabila dijemput untuk menyertai Tugasan Awam London pada tahun 2008 untuk bertugas di Istana Buckingham.


 

ATM
Kontinjen Malaysia bersama rakan negara Komanwel semasa mengadakan raptai perbarisan.

 


Idea penghantaran pasukan tersebut bermula ketika lawatan rasmi Ketua Staf Tentera UK, Jeneral Sir Richard Dannat ke Malaysia pada 28 Februari 2007.

 

Beliau yang menerima tabik hormat daripada kawalan kehormatan utama 1 RAMD terpesona dengan keterampilan, kesegakan serta mutu kawad yang dipamerkan.

 

Semasa pertemuan dengan Panglima Tentera Darat ketika itu, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, beliau terus menawarkan tugasan berkenaan.

 

Lanjutan daripada tawaran itu, Kementerian Pertahanan bersetuju untuk menghantar Kompeni Istiadat ke London sebagai menerima penghormatan dan jemputan daripada kerajaan British.


 

ATM

 


Seramai 122 pegawai dan anggota termasuk pancaragam dihantar dihantar untuk bertugas selama dua bulan di sana.

 

Malaysia merupakan negara Komanwel keempat selepas Kanada, Australia dan Jamaica yang menerima penghormatan untuk melaksanakan Tugasan Awam London.

 

Selain kawalan istiadat, tugasan lain 1 RAMD ialah menjaga laman istana, melakukan rondaan malam, mengawal pos kawalan istana dan menjadi sebahagian daripada pasukan tindakan cepat. - DagangNews.com