Kontinjen PLUS teruskan dominasi Kejohanan Sukan Kerja Raya, juara kali ke-13 berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Kontinjen PLUS teruskan dominasi Kejohanan Sukan Kerja Raya, juara kali ke-13 berturut-turut

Kontinjen PLUS meraikan kejayaan selepas menjuarai Kejohanan Sukan Kerja Raya di UUM, Sintok, Kedah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Kontinjen PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus mendominasi Kejohanan Sukan Kerja Raya apabila muncul sebagai juara keseluruhan temasya sukan industri lebuhraya negara itu buat kali ke-13 berturut-turut di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah baru-baru ini. 

 

Anjuran Kelab Sukan & Kebajikan Kementerian Kerja Raya dan Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Kejohanan Sukan Kerja Raya kali ini disertai 26 kontinjen daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, syarikat-syarikat konsesi lebuhraya, syarikat penyelenggaraan jalan raya dan lain-lain lagi. 

 

Pada kejohanan sukan tersebut, kira-kira 1,600 atlet telah bersaing di dalam 18 acara sukan bermula 7 hingga 11 September di UUM. 

 

Kontinjen PLUS yang dibarisi seramai 160 atlet meneruskan dominasi Sukan Kerja Raya apabila membawa pulang 4 pingat emas, 7 perak dan 1 gangsa. Ia merupakan pencapaian yang lebih baik berbanding temasya yang sama pada tahun 2018 yang berlangsung di Ipoh. 

 

Chef-de-Mission merangkap Presiden Kelab PLUS Malaysia, Mohd Yusuf Abd Aziz berkata, mereka hanya mempunyai tempoh kira-kira sebulan untuk membuat persediaan bagi kejohanan kali ini dan perlu membuat perancangan teliti untuk menghimpun warga PLUS yang bertugas di utara, selatan, tengah termasuklah Pantai Timur. 

 

"Kami bersyukur kerana semua atlet menunjukkan komitmen dan semangat yang cukup tinggi. Pengurusan PLUS juga memberikan sokongan yang padu kepada kontinjen ini sepanjang tempoh latihan dan kejohanan ini. Alhamdulillah, misi untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan tercapai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kontinjen PLUS menggungguli Sukan Kerja Raya sejak kejohanan sukan ini mula diperkenalkan pada tahun 1999. 

 

 

plus

 

 

plus

 

 

Kontinjen yang diberikan gelaran "Highway Star" ini merangkul 4 pingat emas menerusi acara bola jaring, karom, tenpin boling (Lelaki) dan boling padang, manakala 7 pingat perak menerusi acara sepak takraw, futsal wanita, catur, tenpin boling (wanita), mountain bike, ping pong dan dart serta 1 pingat gangsa menerusi acara bola tampar. 

 

Temasya sukan dwitahunan itu telah dirasmikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof manakala perasmian penutup disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

 

 

plus
Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah, hadapan) bersama para kontinjen PLUS ketika perasmian Kejohanan Sukan Kerja Raya di UUM, Sintok, Kedah.

 

 

Turut hadir pada kedua-dua majlis tersebut ialah Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail selaku penaung Kelab PLUS Malaysia dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi selaku penasihat Kelab PLUS Malaysia dan Presiden PSKLM.

 

Sukan Kerja Raya bertujuan untuk meningkatkan persahabatan, dan rangkaian dalam kalangan warga kementerian, agensi dan syarikat-syarikat konsesi menerusi sukan, di samping menggalakkan gaya hidup sihat. - DagangNews.com