Kontrak baharu Dayang Enterprise berpotensi bernilai sehingga RM1.2 bilion bagi tempoh tiga tahun – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu Dayang Enterprise berpotensi bernilai sehingga RM1.2 bilion bagi tempoh tiga tahun – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - RHB Investment positif terhadap kontrak baharu Dayang Enterprise Holdings Berhad yang berpotensi bernilai sehingga RM1.2 bilion, iaitu RM400 juta setahun, tertakluk kepada arahan kerja yang akan dikeluarkan oleh Petronas Carigali.

 

Firma penyelidikan itu berkata kontrak penemuan integriti aset (AIF) tiga tahun tersebut mencerminkan kedudukan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan penyelenggaraan yang boleh dipercayai.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dayang terima kontrak kerja-kerja pembaikan daripada Petronas

 

Ia menambah bahawa kontrak berkenaan selaras dengan panduan Petronas dalam Laporan Tinjauan Aktiviti 2024-2026 baru-baru ini, di mana purata 300 rancangan penambahbaikan fasiliti (FIP) setiap tahun akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang termasuk projek pembaharuan, aktiviti tukar ganti penjana gas dan aktiviti penyelenggaraan utama yang lain.

 

Menurut firma itu, FIP adalah untuk mengekalkan jumlah pengeluaran dan kebolehkendalian aset, sambil memainkan peranan penting dalam mengekang aktiviti pembakaran di kemudahan darat baharu.

 

“Walaupun nilai kontrak akan berdasarkan tempahan kerja yang akan dikeluarkan oleh pelanggan dan juga tertakluk kepada hasil kerja skop yang perlu dilakukan, kami telah dimaklumkan bahawa ia dianggarkan bernilai sehingga RM1.2 bilion (RM400 juta setahun).

 

“Kontrak ini tidak termasuk spread marin dan ia tidak akan menjejas tempahan kerja daripada kerja MCM yang sedang berlangsung,” ujar firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, RHB Investment menganggarkan margin projek adalah serupa dengan kontrak MCM, dan lebih rendah daripada margin operasi gabungan untuk segmen perkhidmatan penyelenggaraan platform penggerudian luar pesisir yang berada di atas garis air (TMS), iaitu pada 33% bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023 (9M23).

 

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan pesanan kerja penyelenggaraan akan kekal berdaya tahan pada tahun 2024.

 

“Kami percaya syarikat itu berpeluang besar untuk memenangi sebahagian daripada tender baharu untuk kontrak HUC dan MCM lima tahun Petronas, dengan pilihan lanjutan 3+2 tahun lagi,” tambahnya.

 

RHB Investment kekal konservatif dalam anggaran pendapatannya, dengan RM500 juta dijangka daripada kemenangan kontrak tiga tahun ini,  memandangkan tempahan kerja sebenar masih tertakluk kepada hasil skop dan kelulusan akhir oleh pelanggan.

 

Ia mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM2.47 sesaham dan menyatakan bahawa risiko negatif adalah kelembapan dalam tempahankerja baharu, harga minyak lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi.

 

Pada pukul 9:40 pagi ini, saham Dayang Enterprise turun 1 sen atau 0.6% kepada RM1.67 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.9 bilion. - DagangNews.com