Kontrak belum diputuskan, bida tender RM800 juta bekalkan sistem artileri SP Tentera Darat kini sengit | DagangNews Skip to main content

Kontrak belum diputuskan, bida tender RM800 juta bekalkan sistem artileri SP Tentera Darat kini sengit

Meriam SP EVA 155mm buatan Slovakia.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

USAHA memenangi kontrak membekalkan sistem artileri mudah gerak (SP howitzer) Tentera Darat kembali rancak apabila firma-firma yang berminat mula bersaing.

 

Rancangan perolehanan sistem artileri SP ini telah tertangguh sejak 26 tahun lalu atas pelbagai sebab termasuk memberi laluan kepada pembelian lebih utama.

 

Artileri SP diperlukan Tentera Darat kerana ciri-ciri mobiliti pada sistem meriam yang dipasang pada kenderaan sama ada beroda atau berunut mudah bergerak dari lokasi ke lokasi.

 

Berdasarkan keadaan muka bumi dan keperluan operasi, sistem artileri SP beroda dilihat jenis yang bakal dipilih.

 

SPH
Sistem Nexter Caesar milik Indonesia.

 

Walaupun pembelian belum dimuktamadkan namun apa yang didengari ketika ini ialah Kementerian Kewangan (MoF) telah mengeluarkan Surat Niat (LOI) kepada sebuah syarikat tempatan.

 

Dakwaan mengatakan MOF memilih Global Komited bagi perolehan sistem meriam bergerak EVA155mm untuk Tentera Darat melibatkan kos lebih RM800 juta.

 

 

 

 

Global Komited merupakan anak syarikat kepada Kumpulan Weststar iaitu peneraju dalam industri aeroangkasa tempatan terutamanya helikopter.

 

Syarikat ini juga turut membekalkan beberapa jenis kenderaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Jika benar, pemilihan ini adalah bertentangan dengan kehendak pengguna akhir iaitu Tentera Darat yang dikatakan telah mempunyai calon pilihan.

 

SPH

 

SPH
Sistem Nexter Caesar merupakan meriam SP beroda paling popular dalam kalangan angkatan tentera.

 

Berdasarkan sumber dalaman dan sumber industri, Tentera Darat berminat untuk mendapatkan meriam Nexter Caesar 155mm buatan Perancis.

 

Meriam Nexter Caesar juga telah melepasi ujian yang dilakukan Tentera Darat sebelum ini dengan mendapat skor tinggi.

 

Sistem artileri SP Caesar yang dibangunkan pada tahun 1999 merupakan rekaan yang matang apabila melalui banyak pengubahsuaian sepanjang tempoh itu.

 

Ia juga merupakan sistem SP beroda paling popular dan dioperasikan banyak tentera di dunia termasuk negara jiran Indonesia dan Thailand.

 

SPH
Meriam Yavuz.

 

Bagaimana pun, perkara tersebut dinafikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memberitahu cadangan membeli sistem artileri SP masih dalam proses perolehan.

 

Ini bermakna keputusan belum lagi muktamad.

 

Meriam EVA 155mm buatan Konstrukta Defence dari Slovakia merupakan sistem SP yang baharu apabila mula diperkenalkan pada tahun 2015.

 

Ia menggunakan meriam 155mm/L52 dan mampu membedil semua jenis peluru mengikut standard NATO serta dipasang di atas kenderaan Tatra T810 dengan berat keseluruhan 22 tan.

 

Bagi saiz sebesar ini ia dikategorikan sebagai berat untuk beraksi pada muka bumi Malaysia.

 

SPH
EVA

 

Sebagai perbandingan, kenderaan perisai Gempita memiliki berat 18 tan manakala kereta kebal Pendekar 45 tan.

 

Situasi ini mengimbas kembali apa yang berlaku dua tahun lalu apabila sebuah syarikat tempatan, MA Analytics Sdn. Bhd. dikatakan telah mendapat lampu hijau untuk membekalkan howitzer Yavuz 155mm.

 

Yavuz merupakan sistem artileri SP yang dibangunkan oleh Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) dari Turkiye.

 

Kedua-dua syarikat telah menandatangani memorandum persefahaman bagi kerjasama itu semasa lawatan Perdana Menteri ke Turkiye ketika itu.

 

Pemilihan MA Analytics Sdn. Bhd. mendapat respons pelbagai pihak apabila dikatakan dibuat secara rundingan terus dan bukannya tender terbuka melibatkan pesaing-pesaing lain.

 

SPH
Sistem Caesar semasa melakukan ujian di Malaysia.

 

SPH

 

Malah, satu dokumen yang dikatakan ditandatangani Perdana Menteri memberi lampu hijau kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) mempertimbangkan tawaran tersebut tular di media sosial.

 

Perolehan ini dinafikan Menteri Pertahanan dengan memberitahu bahawa proses perbincangan masih dilakukan antara Mindef dan MOF.

 

Ia juga menjadi perdebatan politik apabila beberapa pemimpin parti pembangkang teruk mengecam kerajaan dan mengaitkan tawaran itu sebagai skandal.

 

LOI untuk membeli 18 meriam Yavuz telah dikeluarkan kerajaan dengan kos kira-kira RM854 juta meliputi pembelian meriam dan fasiliti.

 

SPH
Sistem SP ATMOS milik Filipina.

 

Perolehan meriam Yavuz kemudian dibatalkan apabila kerajaan bertukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, namun cadangan membeli sistem artileri SP akan dibuat apabila tiba waktu yang sesuai.

 

Walaupun jumlah yang hendak dibeli kecil iaitu 18 unit namun perolehan sistem artileri SP ini memberi nilai ekonomi yang besar kepada mana-mana syarikat yang berjaya memenangi kontrak.

 

Berkemungkinan juga jumlah ini akan ditambah pada masa hadapan kerana keperluan Tentera Darat untuk menempatkan meriam tersebut di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com