Kontrak PSC Petronas berupaya tarik modal komitmen RM600 juta | DagangNews Skip to main content

Kontrak PSC Petronas berupaya tarik modal komitmen RM600 juta

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 24 Mac – Petronas menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi 5 blok penerokaan luar pesisir terutamanya SB412 dan X yang terletak di luar pantai Sabah dan SK439/SK440, di luar pantai Sarawak. 

 

Bagi Blok SB412, ia dimeterai antara Petronas, PTTEP HK Offshore Limited dan SapuraOMV Upstream (M) Sdn. Bhd. manakala PSC untuk perairan laut dalam, Blok 2W dan X dimeterai antara Petronas, Sabah Shell Petroleum Company Ltd. (SSPC), Shell Sabah Selatan Sdn. Bhd. dan Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

PSC bagi Blok SK439/SK440 Sarawak pula ditandatangani antara Petronas, Sarawak Shell Bhd. dan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd.

 

Dalam kenyataan hari ini, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Mohamed Firouz Asnan yang berkata, PSC yang dimeterai itu akan menarik modal komitmen kira-kira RM600 juta dalam aktiviti penerokaan di Malaysia, sekali gus mencerminkan daya tarikan potensi sumber hidrokarbon Malaysia.

 

Katanya, pengurangan aktiviti penggerudian penerokaan global dalam tempoh 2 tahun lalu memberi tekanan kepada industri untuk menyelesaikan kekurangan bekalan semasa. 

 

"Memandangkan ekonomi global mula kembali pulih selepas pandemik, industri perlu memastikan aktiviti penerokaan yang berterusan bagi mengekalkan pengeluaran.

 

"Oleh itu, Petronas komited untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada operasi kami dengan teknologi seperti Penangkap dan Penyimpanan Karbon. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kerjasama kami untuk menyediakan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai kepada pasaran," jelasnya.

 

PSC berkenaan ditandatangani dalam satu majlis semalam setelah dianugerahkan dalam Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2021. - DagangNews.com