Kontrak RM10.128 billion dimeterai pada hari ketiga LIMA 2023, antaranya FA-50 dan helikopter Blackhawk | DagangNews Skip to main content

Kontrak RM10.128 billion dimeterai pada hari ketiga LIMA 2023, antaranya FA-50 dan helikopter Blackhawk

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen kontrak pada LIMA 2023 di Langkawi.
Oleh Zaki Salleh

LANGKAWI 25 Mei - Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan beberapa perolehan aset pertahanan baharu yang sedang dilaksanakan untuk memperkukuhkan lagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Sejumlah 43 kontrak bernilai RM10.128 billion telah dimuktamadkan meliputi 20 dokumen kontrak, 21 surat setuju terima dan dua surat niat.

 

Kesemua perolehan tersebut dimeterai pada hari ketiga Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023).

 

Daripada jumlah tersebut, lima kontrak adalah membabitkan perolehan aset.

 

Tentera Darat akan menerima empat buah helikopter Sikorsky UH-60A+ Blackhawk yang berfungsi sebagai platform kepada tim nukleus bagi tujuan latihan dan operasi.

 

Perolehan ini melalui sewaan daripada Aerotree Defence & Services Sdn Bhd. 

 

Helikopter Sikorsky UH-60A+ Blackhawk.
Helikopter Sikorsky UH-60A+ Blackhawk.

 

Seperti dijangka kontrak juga dimeterai bagi pembelian 18 buah pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA/FLIT) FA-50 daripada Korea Aerospace Industries, Ltd. (KAI). 

 

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan memperoleh tiga unit Unmanned Aerial System (UAS) and Associated Support Category Medium Altitude Long Endurance (MALE) Fasa 1 daripada Turkish Aerospace Industries.

 

Turut diterima ialah dua unit Maritime Patrol Aircraft (MPA) Fasa 1 dan Associated Equipments dari Leonardo S.P.A.

 

Sebagai tambahan, MINDEF kini dalam perancangan untuk memperolehi lebih banyak aset pertahanan di bawah Rancangan Malaysia seterusnya.

 

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan hadir menyaksikan majlis menandatangani dokumen kontrak berkenaan.

 

Ketua Setiausaha kementerian, Dato’ Seri Muez Abd Aziz mewakili kerajaan Malaysia bagi menandatangani perjanjian tersebut.

 

Perolehan 18 pesawat FA-50 bakal memperkasakan keupayaan TUDM.
Perolehan 18 pesawat FA-50 bakal memperkasakan keupayaan TUDM.

 

Sementara itu pada sidang akhbar selepas majlis tersebut, Mohamad memaklumkan ada beberapa kontrak lain akan ditandatangani MINDEF pada hari esok.

 

"Ada banyak lagi kontrak akan dimuktamadkan yang mana kita lakukan secara berperingkat-peringkat.

 

"Saya juga berharap kepada pihak yang berjaya diberikan kontrak agar dapat melaksanakan dan seterusnya melengkapkan perkara-perkara yang telah dipersetujui kepada pengguna iaitu ATM" ujarnya. - DagangNews.com