Kontraktor di Semenanjung Malaysia bakal beralih ke Sabah? | DagangNews Skip to main content

Kontraktor di Semenanjung Malaysia bakal beralih ke Sabah?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kontraktor-kontraktor yang telah mencatatkan rekod prestasi di Semenanjung Malaysia mungkin mula ‘mengintai’ peluang pembidaan projek infrastruktur baharu di Sabah, mahupun Sarawak. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely menjangkakan situasi berkenaan susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meluluskan 1039 projek pembangunan di Sabah bernilai RM5 bilion, di bawah pelancaran pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 hingga 2025). 

 

Kata Sharizan, angka berkenaan melibatkan nilai yang diperuntukkan kepada negeri tersebut di dalam Belanjawan 2021.

 

“Kelulusan itu memberi ‘lampu hijau’ secara langsung kepada dana kerajaan persekutuan, di mana dalam pandangan kami, akan mempercepatkan proses tender berdasarkan jaminan pembiayaan itu. 

 

“Kami percaya tender-tender baharu di Sabah akan bermula pada separuh pertama tahun 2021 (2H21),” katanya dalam sebuah nota kajian hari ini.

 

Menurut Sharizan, selain daripada peruntukan projek berskala kecil yang ditingkatkan daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kerajaan kini mengalihkan perhatiannya kepada peruntukan tertunggak di bawah Belanjawan 2021.

 

Berdasarkan data yang disediakan CGS-CIMB, peruntukan infrastruktur yang diberikan kepada Sabah merangkumi 53% melibatkan peruntukan air, elektrik, jalan, kemudahan perubatan dan pendidikan.

 

Selain itu, turut melibatkan peruntukan bagi projek pembangunan Lebuhraya Pan Borneo di negeri berkenaan.

 

“Walaupun ini merupakan berita baik buat kontraktor Sabah dan Sarawak, namun kontraktor di Semenanjung Malaysia dengan rekod prestasi mungkin perlu mengalihkan semula kedudukan mereka untuk meraih pembidaan di bawah peruntukan baharu itu. 

 

"Ini menekankan semak naik saham WCT Holdings Berhad kepada ‘tambah’ (harga sasaran (TP): RM0.79).

 

“Perkembangan ini berkaitan dengan optimisme baharu terhadap tender kontrak dan pekerjaan baharu yang berpotensi di Sabah, oleh kumpulan syarikat berkenaan. Kami percaya WCT akan melihat semula projek-projek yang menjadi tumpuannya sebelum COVID-19,” tambah Sharizan.

 

Sharizan menjangkakan RMK-12 mungkin dibentangkan selepas Proklamasi Darurat ditarik semula pada Ogos 2021. - DagangNews.com