Koop Sahabat diiktiraf tempat ke-5 koperasi terbaik negara | DagangNews Skip to main content

Koop Sahabat diiktiraf tempat ke-5 koperasi terbaik negara

Mohd Najib Mohd Nor (empat dari kiri) mewakili Koop Sahabat menerima anugerah tempat ke-5 Koperasi Terbaik Negara dalam indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia daripada Tan Sri Noh Omar
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) berada di kedudukan ke-5 sebagai koperasi terbaik Malaysia bagi tahun 2021. 

 

Pengiktirafan tersebut dibuat dalam Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi yang dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar, kelmarin.

 

Pengerusi Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, ini merupakan tahun ke-3 berturut-turut tersenarai dalam kelompok 10 koperasi terbaik di Malaysia oleh pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

 

Jelasnya, pengiktirafan itu berdasarkan kecemerlangan dalam urus tadbir dan peningkatan prestasi yang direkodkan pada tahun semasa, sekali gus menyaksikan Koop Sahabat sebuah koperasi yang diyakini dan berdaya saing di negara ini walaupun baru berusia 10 tahun penubuhannya.

 

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk MEDAC, SKM, Anggota Lembaga Koperasi, anggota serta warga kerja Koop Sahabat atas kepercayaan serta usaha yang dicurahkan selama ini “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Mohd. Najib berkata, pada tahun ini, Koop Sahabat menjangkakan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM12.8 juta, yang mana koperasi akan menfokuskan aktiviti pembangunan hartanah menerusi projek Tanah Cheras, Bukit Bandaraya dan Residensi Prihatin Keluarga Malaysia Putrajaya. 

 

Beliau berkata, selain itu pendapatan menerusi pelaburan saham dalam Nextgreen Sdn. Bhd., Widad Group dan pembinaan Pusat Dialisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga dijangka antara penyumbang kepada peningkatan aktivti pelaburan strategik.

 

"Di samping itu, pembukaan 8 cawangan Sahabat Ar Rahnu pada tahun ini juga di lihat dapat meningkatkan lagi jumlah pendapatan kepada Koop Sahabat," katanya.

 

 

koop
Mohd Najib Mohd Nor (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Koop Sahabat, Mazri Mahmood bersama trofi dan sijil pengiktirafan anugerah tempat ke-5 Koperasi Terbaik Negara dalam indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia

 

 

Katanya, koperasi itu berhasrat untuk mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaannya bagi memberi pulangan dividen pada kadar tinggi dan seterusnya memberi manfaat kepada lebih 243,000 anggotanya.

 

"Koop Sahabat memikul tanggungjawab penting dalam mengurus dan mentadbir anggotanya di seluruh negara. Selain dapat membantu meringankan sedikit beban kewangan kepada anggotanya, dividen yang diberikan diharap dapat menjadi rangsangan kepada anggota bagi memajukan perniagaan mereka serta menyuntik semula pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

 

Tambah beliau, pandemik COVID-19 telah mengajar semua untuk saling membantu dan bekerjasama yang mana semangat kerjasama merupakan prinsip asas gerakan koperasi.

 

Sehingga Disember 2021, Koop Sahabat telah menyalurkan peruntukan lebih RM1.3 juta bagi membantu anggota dan bukan anggota yang memerlukan menerusi agihan wakalah zakat serta dana sumbangan lain.

 

Bantuan segera turut diagihkan kepada mangsa banjir melalui pihak cawangan Amanah Ikhtiar Malaysia. - DagangNews.com