Korea Aerospace intai teroka pasaran industri pertahanan lebih besar di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Korea Aerospace intai teroka pasaran industri pertahanan lebih besar di Asia Tenggara

Kehadiran KAI pada pameran Defence & Security 2023 bagi mengukuhkan lagi pasaran di rantau ini.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 9 Nov - Korea Aerospace Industries Ltd. (KAI) mengambil peluang penyertaan pada pameran Pertahanan dan Keselamatan 2023 (Defence & Security 2023) di Bangkok, Thailand untuk mengembangkan pasaran ke sebelah sini.

 

Syarikat pertahanan unggul Korea Selatan itu merancang untuk mengukuhkan lagi jalinan perniagaan pertahanan Asia Tenggara yang berkembang melalui acara ini. 

 

Pada pameran itu, KAI akan mempamerkan model pesawat utamanya seperti pesawat tempur termaju KF-21, pesawat tempur ringan dwifungsi FA-50, helikopter bersenjata ringan (LAH) dan helikopter utiliti saiz sederhana, KAI Sirion.

 

Asia Tenggara termasuk Thailand adalah pasaran teras bagi industri pertahanan Korea Selatan kerana ia telah membuktikan daya saing global pesawat seperti KT-1 dan T-50.

 

Kf
Pesawat KF-21.

 

Ia turut menampilkan beberapa teknologi maju dalam pembinaan pesawat sayap kaku, helikopter dan dron.

 

Indonesia misalnya turut terlibat dalam program pembangunan pesawat KF-21 dengan persetujuan membiayai kira-kira 20 peratus kos pesawat tersebut.

 

KAI berhasrat untuk meneroka peluang dalam pasaran Asia Tenggara dengan memperkenalkan pelbagai pilihan termasuk sistem udara tanpa pemandu yang kini dianggap sebagai keupayaan teras medan perang masa hadapan.

 

Pesawat latihan KT-1 dan T-50 misalnya telah mendapat tempat daripada pengguna di rantau ini sebagai pesawat asas untuk melatih bakal juruterbang tentera.

 

Pesawat
Pesawat latihan T-50 milik Thailand.

 

Justeru, KAI mengintai peluang untuk meningkatkan lagi jumlah pesanan dalam pasaran Asia Tenggara selain menjangka potensi kerjasama serta peluang perniagaan masa hadapan.

 

Sehingga kini KAI telah mengeksport sebanyak 86 pesawat kepada pengguna di sini termasuk pesawat siri T-50 ke Indonesia sebanyak 22 buah, Thailand (14), Filipina (12 buah FA-50), Malaysia (18), serta 20 pesawat KT-1 ke Indonesia. 

 

Kejayaan KAI memenangi kontrak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dianggap penting kerana berjaya mengukuhkan pasaran pesawat FA-50.

 

Penggunaan pesawat tempur ringan merupakan opsyen kepada negara yang mempunyai belanjawan pertahanan terhadap tetapi tidak berkompromi dalam soal teknologi dan kemampuan pesawat.

 

Helikopter
Helikopter KAI Surion.

 

Negara-negara Asia Tenggara telah menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam pelbagai platform yang diketengahkan seperti KF-21, LAH, KUH-1 Surion dan sistem pesawat tanpa pemandu.

 

Firma ini juga dikatakan bersedia untuk menawarkan helikopter Surion varian maritim bagi menggantikan helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Dengan potensi sedia ada, tidak mustahil KAI mampu mengukuhkan perkongsian dalam industri pertahanan dengan negara serantau sekali gus meletakkan nama di sini.- DagangNews.com