Korea Utara-Malaysia putus hubungan diplomatik | DagangNews Skip to main content

Korea Utara-Malaysia putus hubungan diplomatik

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Rejim di bawah kepimpinan Kim Jong Un secara total memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas negara ini menyerah balik seorang lelaki berwarganegara Korea Utara kepada Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi tuduhan penggubahan wang haram.

 

Sekitar Disember 2019, lelaki berkenaan, Mun Chol Myung telah ditahan di Malaysia selepas didakwa di AS berhubung aktiviti penggubahan wang haram. 

 

Pada 3 Mac lalu, Chol Myong gagal dalam rayuannya di mahkamah Malaysia untuk mengelak daripada diserah balik ke AS atas dakwaan tersebut.

 

Disebabkan itu, Korea Utara mahu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia dan menyifatkan tindakan negara ini sebagai “permusuhan yang sangat besar terhadap Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) yang tunduk kepada tekanan AS”.

 

Menurut agensi berita negara itu, Korean Central News Agency (KNCA), Kementerian Luar Korea Utara juga seolah-olah ‘mengugut’ Malaysia : “Mulai saat ini, kerajaan Malaysia akan memikul tanggungjawab penuh untuk semua akibat yang akan ditanggung antara kedua-dua negara (Malaysia dan AS).”

 

“Kami memberi amaran terlebih dahulu bahawa AS - pemutar belit di belakang pentas dan penyebab utama kejadian ini - bahawa ia juga perlu menanggung akibatnya,” tambah laporan itu lagi. 

 

Sebelum ini, hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia pernah ‘tergugat’ apabila abang tiri Jong Un,  Kim Jong Nam, terbunuh di sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Februari 2017.

 

Kematiannya didakwa disebabkan oleh dua wanita yang ‘menyapu’ wajahnya dengan agen saraf VX.

 

Susulan itu, Malaysia menghentikan sementara operasi kedutaannya di Korea Utara pada 2017 selepas berjaya membawa pulang dengan selamat sembilan rakyat negara ini dari Pyongyang sebagai pertukaran dengan mayat Jong Nam.

 

Menurut Reuters, Korea Utara telah menggunakan Malaysia sebagai pusat operasi eksport senjata, dan bagi menubuhkan entiti perniagaan untuk menyalurkan wang kepada kepemimpinan Korea Utara. - DagangNews.com