Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Penurunan kos bahan dan pengeluaran dalam bahagian pembuatan mendorong syarikat Superlon Holdings Berhad mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersih teras (CNP) pada suku pertama tahun kewangan 2021.
MIDF Research berkata, perkara itu juga disokong oleh pengurangan perbelanjaan penjualan dan pengedaran (S&D) yang mampu mengimbangi pendapatan yang lebih rendah dalam bahagian pembuatan.
"CNP pada suku pertama tahun kewangan 2021 meningkat 46.8% kepada RM3.69 juta berbanding suku sebelumnya iaitu RM2.52 juta.
"Kenaikan CNP adalah disebabkan oleh penurunan pembiayaan bahan dan pengeluaran di samping pengurangan perbelanjaan S&D," jelas MIDF Research.
Superlon Holdings Berhad mencatatkan penurunan dalam pendapatan pada suku pertama tahun kewangan 2020.
Perkara itu adalah disebabkan oleh eksport yang rendah dan penjualan domestik dengan penurunan sebanyak -10.1% kepada RM22.0 juta pada suku berkenaan berbanding tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, syarikat tersebut mencatatkan peningkatan nilai keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 40.2% kepada RM4.6 juta.
Peningkatan tersebut adalah disebabkan oleh kos bahan dan pengeluaran yang lebih rendah selain peningkatan hasil operasi dari kilang Binh Duong, Vietnam.
Superlon turut mengumumkan dividen 0.75 sen yang merangkumi 25% daripada anggaran tahunan MIDF Research.
MIDF Research turut mengakalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran sesaham (TP) syarikat berkenaan yang disemak semula pada harga RM0.77.
Harga tersebut adalah lebih tinggi berbanding RM0.73 pada sebelumnya. - DagangNews.com