Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 April - Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang disambung semula pertengahan tahun ini diyakini dapat mengurangkan kos sebanyak 30% hingga 40% daripada jumlah asal iaitu RM45 bilion.
CGS-CIMB Research berkata, jumlah itu sekali gus menjadikan anggaran kos keseluruhan adalah antara RM27 bilion hingga RM32 bilion.
"Dalam kemas kini sektor kami pada bulan Januari lalu, kami meletakkan kemungkinan kos keseluruhan projek MRT3 dapat dikurangkan dengan ketara.
"Berdasarkan kepada anggaran kami, projek MRT3 yang disemak semula mungkin dapat mengungkan 30% hingga 40% daripada jumlah kos asal iaitu RM45 bilion khususnya disebabkan oleh pengurangan projek bawah tanah yang tertentu.
"Ini menjadikan jumlah anggaran keseluruhan kos adalah sekitar RM27 bilion dan RM32 bilion," jelas CGS-CIMB Research.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memberitahu, kebinet telah memberi laluan kelangsungan semula pembinaan projek MRT3.
CGS-CIMB Research memberitahu, meskipun terdapat kemungkinan pengurangan jajaran bawah tanah dalam projek berkenaan, pihaknya masih mengharapkan projek bawah tanah MRT3 menjadi satu-satunya skop pemberian terbesar.
Bagi pihaknya, bakal pengendali/pemenang projek MRT3 adalah kontraktor awam bagi projek MRT sebelumnya yang memiliki kemampuan pelaksanaan dan rekod prestasi yang kukuh.
"Gamuda, IJM Corp, WTC, dan MRCB adalah kontraktor utama di bawah seliaan kami yang mungkin muncul sebagai pemenang projek kerja awam meliputi jambatan, stesen dan projek bawah tanah.
"Kami yakin adanya potensi untuk Gamuda mendapatkan kontrak utama dan projek bawah tanah MRT3.
"Perkara ini sekali gus mengukuhkan semula buku pesanan Gamuda pada 2021 hasil manfaat daripada projek terbesar MRT3," kata CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com