KUALA LUMPUR 14 Nov - Untung bersih Petronas Gas Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 susut 26.7% kepada RM425.82 juta daripada RM580.84 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan itu disebabkan impak pergerakan kadar tukaran asing yang kurang menggalakkan dan keuntungan kasar susut 18.8% ekoran sumbangan lebih rendah daripada semua segmen disebabkan kos operasi yang lebih tinggi, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Namun, pendapatan bagi suku tersebut meningkat 9.6% kepada RM1.56 bilion daripada RM1.43 bilion terutamanya disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada segmen utiliti sejajar dengan harga bahan api gas yang lebih tinggi.
Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 meningkat 10.7% kepada RM4.53 bilion daripada RM4.15 bilion disumbangkan terutamanya hasil yang lebih daripada segmen utiliti berikutan kenaikan harga produk dan jumlah jualan elektrik yang lebih tinggi.
Keuntungan bersih bagaimanapun susut 20.13% kepada RM1.23 bilion daripada RM1.54 bilion berikutan impak pelaksanaan kadar Cukai Makmur yang lebih tinggi bagi tahun taksiran 2022 dan keuntungan kasar yang lebih rendah, susut 10.7%.
Mengenai prospek kumpulan, Petronas Gas berkata, permintaan utiliti dan gas dijangka meningkat apabila negara memasuki fasa endemik manakala penggunaan aset juga bertambah baik sejajar pemulihan ekonomi.
Menurutnya, prestasi kumpulan tahun ini juga diunjur berdaya tahan didorong kontrak jangka panjang yang akan memastikan aliran pendapatan yang stabil terutamanya bagi segmen pemprosesan gas, pengangkutan gas dan perniagaan regasifikasi.
Dalam tempoh itu, katanya, kumpulan telah memperbaharui beberapa kontrak utiliti jangka panjang yang meningkatkan margin segmen tersebut pada suku ketiga dan seterusnya membantu mengurangkan sebahagian kesan buruk ekoran kos gas bahan api yang lebih tinggi.
"Namun begitu, kenaikan Harga Rujukan Malaysia (MRP), kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pelaksanaan Cukai Makmur akan terus memberi kesan kepada prestasi kumpulan secara keseluruhan.
"Walaupun kumpulan berdepan dengan aliran lemah ringgit berbanding dolar AS dan harga gas bahan api yang meningkat, usaha berterusan akan diteruskan untuk mencapai kecemerlangan operasi dan memastikan tahap pulangan yang mampan kepada para pemegang saham kami," katanya. - DagangNews.com