Kos selenggara lapangan terbang di bawah kendalian MAHB naik 34% - Kementerian Pengangkutan | DagangNews Skip to main content

Kos selenggara lapangan terbang di bawah kendalian MAHB naik 34% - Kementerian Pengangkutan

MAHB mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh negara termasuk Lapangan Terbang Subang. Gambar DagangNews

KUALA LUMPUR 30 Julai - Kos penyenggaraan lapangan terbang di bawah kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di seluruh negara dijangka meningkat 34% tahun ini.

 

Kementerian Pengangkutan (MoT) berkata, MAHB telah membelanjakan sebanyak RM546 juta pada 2023 untuk membiayai kos penyelenggaraan bagi memastikan semua lapangan terbang kendaliannya dlamkeadaan baik.

 

Menurutnya, MAHB memperuntukkan sebanyak RM191.1 juta bagi kos penyenggaraan semua lapangan terbang dan padang terbang di Sarawak pada 2023.

 

 

"Peruntukan ini telah dinaikkan kepada RM27.1 juta bagi 2024 iaitu kenaikan 41.9% berbanding kos pada 2023," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

 

Senator Pele Peter Tinggom bertanyakan mengenai lapangan terbang di seluruh negara terutama di Sarawak yang perlu dinaik taraf, dibaik pulih dan diselenggara.

 

MOT berkata, sehingga 2024,MAHB telah mengenal pasti lapan lapangan terbang yang perlu dinaik taraf termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

 

"Kemudahan lain adalah Lapangan Terbang Miri, Padang Terbang Bario, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang.

 

"Kos pembangunan akan dibiayai oleh kerajaan melalui Peruntukan Pembangunan atau dibiayai MAHB yang melibatkan lapangan terbang kompetitif dan berdaya saing," katanya.

 

Kata Kementerian Pengangkutan, kaedah pembiayaan menaik taraf projek kompetitif akan dilaksanakan melalui model pemulihan pelaburan yang akan dibincangkan dengan MAHB dan tertakluk kepada persetujuan kerajaan.

 

Menurutnya, ini sejajar keputusan kerajaan memberi hak kepada MAHB untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangunkan sebanyak 39 lapangan terbang dan padang terbang di Malaysia bagi tempoh sehingga 2069 melalui dua perjanjian operasi yang dimeterai pada 18 Mac 2024.

 

"Bagi memastikan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan di semua lapangan terbang seluruh negara, termasuk di Sarawak dalam keadaan selamat dan selesa, pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia melaksanakan rangka kerja Kualiti Perkhidmatan secara berperingkat di semua lapangan terbang mulai September 2018," katanya.

 

Rangka kerja itu turut memperkenalkan penalti kewangan kepada pihak pengendali lapangan terbang yang gagal mematuhi standard ditetapkan. - DagangNews.com