KUALA LUMPUR 26 Julai - Koperasi Serbaguna Anak-anak Selangor (Kosas) merancang untuk membuka 100 cawangan Richiamo Coffee di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kosas yang baru dilantik sebagai pemegang lesen induk bagi segmen koperasi oleh Richiamo Coffee menyasarkan jumlah tersebut akan dikendalikan oleh koperasi-koperasi yang berminat menjalankan perniagaan kedai kopi.
Pengerusi Kosas, Datuk Mohd. Aini Mohd Taib berkata, Kosas melihat potensi untuk berkembang perniagaan kedai kopi ini amat luas ditambah dengan bantuan dari kerajaan terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
"Bayangkan ketika ini jumlah keseluruhan koperasi di seluruh negara lebih kurang 14,000 buah, Kosas menawarkan satu sumber pendapatan baru untuk mereka ini dengan tawaran yang amat berbaloi.
"Untuk menjalankan perniagaan kedai kopi ini, koperasi tidak perlu mengeluarkan modal kerana SKM memberi geran RM200,000 manakala RM100,000 lagi boleh dapatkan pinjaman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada majlis tersebut, Kosas turut menyampaikan surat tawaran kepada lima koperasi untuk menjalankan perniagaan Richiamo Coffee.
Pada majlis sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar turut merasmikan cawangan Richiamo Coffee di Kelana Jaya yang dimiliki oleh Kosas.
Pelantikan Kosas sebagai pemegang lesen induk itu adalah bagi meneroka peluang perniagaan untuk koperasi-koperasi yang berminat untuk membuka perniagaan Richiamo Coffee sebagai sumber pendapatan kepada ahli mereka.
Jumlah koperasi tersebut meliputi koperasi-koperasi sekolah, koperasi pertubuhan, koperasi keluarga, koperasi kakitangan awam dan swasta dan lain-lain.
Mohd. Aini berkata, bagi memudahkan pembukaan Richiamo Coffee oleh koperasi-koperasi ini, Kosas akan membuka jalan dengan memberi bantuan khidmat nasihat serta bantuan kewangan dari SKM dan juga Bank Rakyat. - DagangNews.com