Kossan dijangka tingkatkan 50% harga jualan pada 4Q20 | DagangNews Skip to main content

Kossan dijangka tingkatkan 50% harga jualan pada 4Q20

Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Syarikat pengeluar sarung tangan getah, Kossan Rubber Industries (Kossan) dijangka meningkatkan purata harga jualan (ASP) sebanyak 50% menjelang suku keempat 2020 dan suku pertama 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut dimaklumkan syarikat berkenaan dalam satu taklimat yang dijalankan baru-baru ini.

 

"Kossan juga dijangka tidak akan mengurangkan kenaikan ASP dari suku kedua 2021 (2Q21F) dan seterusnya.

 

"Jangkaan itu kerana ASP semasa masih berada di bawah purata industri," jelas CGS-CIMB Research.

 

Terdahulu, Kossan telah meningkatkan ASP sebanyak 40% berbanding suku sebelumnya pada suku ketiga 2020.

 

Penghujung 2020, Kossan berdepan dengan penularan kes COVID-19 dalam kalangan pekerjanya hingga terpaksa menghentikan 25% daripada keseluruhan kapasiti pengeluaran dari 7 hingga 31 Disember 2020.

 

Susulan itu, CGS-CIMB Research menganggarkan syarikat berkenaan kehilangan 1.5% kapasiti jumlah pengeluaran tahunan.

 

Bagaimanapun, impak tersebut memberi kesan minimum kepada prestasi kewangan Kossan kerana dapat diimbangi oleh kenaikan ASP.

 

"Kami yakin jumlah kenaikan ASP lebih dari cukup untuk mengimbangi kehilangan kapasiti sementara dalam tempoh tersebut.

 

"Kami tidak membuat perubahan dalam jangkaan perolehan sesaham (EPS) pada tahun kewangan 2020 hingga 2022.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'tambah' saham Kossan dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah kepada RM7.64," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com