Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hari dengan tahap kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan peniaga di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, disiplin tersebut diharap terus diperkemaskan bagi memastikan usaha kerajaan membandung penularan pandemik COVID-19 terus berjaya.
"Tahap pematuhan SOP yang tinggi dapat dilihat apabila pelanggan yang datang ke pusat beli belah ini duduk berasingan mengikut had ditetapkan iaitu dua orang semeja walaupun datang dari sebuah keluarga, penjarakan sosial ketika beratur untuk memasuki premis dan membeli barang keperluan, pemakaian topeng pelitup muka, merekod kemasukan ke premis melalui aplikasi MySejahtera dan penggunaan cecair sanitasi tangan.
"Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, usaha memerangi penularan COVID-19 akan berjaya dan kerajaan dapat memberi lebih banyak kelonggaran dalam merancakkan semula pertumbuhan sektor ekonomi dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, beliau bersama pegawai kanan dan penguat kuasa KPDNHEP turun padang meninjau tahap pematuhan SOP ketat yang ditetapkan kerajaan di IOI Mall Puchong.
Bagi rekod 8 Mei 2020 hingga 9 Februari 2021, penguat kuasa KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 361,454 premis di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 353,122 premis didapati patuh SOP, 7,614 premis diberi nasihat,584 premis diberi amaran dan 134 premis dikenakan kompaun.
Berdasarkan statistik berkenaan, tahap pematuhan SOP PKP bagi sektor borong dan runcit berada pada tahap yang tinggi iaitu sejumlah 353,122 atau 97.69% daripada keseluruhan 361,454 jumlah premis yang diperiksa.
Tambah beliau lagi, serentak dengan pembukaan sektor peruncitan baharu bermula hari ini, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus melipat gandakan pemeriksaan di premis-premis tersebut untuk memastikan pematuhan peniaga ke atas SOP yang ditetapkan.
"Mereka juga akan memantau pelaksanaan 'dine-in' di restoran-restoran supaya SOP dipatuhi sepenuhnya," ujar beliau lagi. - DagangNews.com