KUALA LUMPUR 15 Feb - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru secara one-off dalam masa terdekat.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu amat penting bagi menampung keperluan guru khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.
Beliau berkata, pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan jumlah keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama.
"Alhamdulillah, seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara one-off yang berjaya dalam temuduga fasa 2 dan 3 boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.
"Guru-guru ini akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac 2022," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Dr. Radzi turut mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada calon terpilih dan menasihatkan supaya memanfaatkan peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat.
"InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara," katanya. - DagangNews.com