AJMAIN KASSIM (kiri); Ahmad Fadzil Mohamad Hani (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Mohd. Abdul Karim Abdullah (dua dari kanan) dan Mustakim Mat Nun (kanan), pada majlis menandatangani Perjanjian Penjualan Saham semalam.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan. – Kpower Berhad telah mengambil alih sehingga 70% kepentingan dalam syarikat pembuatan peranti perubatan, GranuLab Sdn. Bhd.
GranuLab dimiliki oleh SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. (STV) yang merupakan anak syarikat kepada SIRIM Berhad.
Baki kepentingan itu akan dimiliki oleh STV, di mana langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan aktiviti komersial peranti perubatan GranuLab.
Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali berkata, pemasaran pada masa hadapan dengan KPower merupakan langkah terbaik untuk meraih kelebihan persaingan selain mengembangkan perniagaan ketika keadaan ekonomi yang sukar akibat COVID-19.
"Memandangkan sumber pemasaran di GranuLab tidak besar, maka kerjasama pemasaran ini merupakan langkah kreatif untuk melaksanakannya dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua belah pihak.
"Menerusi KPower, keperluan peranti perubatan pelanggan yang sentiasa berubah-ubah akan dipenuhi menerusi teknologi inovatif dengan memanfaatkan teknologi Industri Revolusi 4.0 (IR4.0) di seluruh rantaian nilai produk.
“Revolusi digital meningkatkan keterhubungan di seluruh dunia dan ini akan mewujudkan peluang perniagaan baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Penjualan Saham berkenaan.
STV diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ajmain Kassim dan Presiden SIRIM merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani; sementara KPower diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakim Mat Nun dan Pengerusi, Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah.
Majlis tandatangan perjanjian itu disaksikan oleh Ahmad Tajuddin.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzil menjelaskan, menerusi kerjasama berkenaan, GranuLab yang dilengkapi dengan pekerja berkemahiran dan berpengetahuan dapat meletakkan lebih banyak produk dalam proses pembangunan serta memperoleh beberapa skala ekonomi dalam gabungan usaha penyelidikan serta pembangunan dengan syer pasaran tambahan.
“Kami berharap kerjasama ini akan memberi manfaat kepada orang awam sekali gus membolehkan produk peranti perubatan diperluaskan secara tempatan dengan harga berpatutan,” katanya. – DagangNews.com