KUALA LUMPUR 23 Mei – KPower Berhad mencatatkan hasil terkumpul kira-kira RM152.66 juta dan Keuntungan Sebelum Cukai sebanyak RM19.42 juta untuk Tempoh Kewangan Berakhir 31 Mac 2022 (FPE 3Q 31 Mac 2022).
Mengumumkan keputusan kewangan interimnya untuk suku ketiga (3Q), KPower berkata, bahagian utama Kumpulan iaitu Aktiviti Berkaitan Pembinaan, mencatatkan hasil RM137.35 juta, atau kira-kira 90 % daripada jumlah hasil terkumpul Kumpulan, dalam tempoh di bawah semakan.
Pengerusi Eksekutif, Mustakim Mat Nun berkata, aktiviti ekonomi yang kembali normal dan pelonggaran langkah sekatan pergerakan oleh Kerajaan telah memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Dengan latar belakang yang menggalakkan ini ujar beliau, KPower telah melaksanakan inisiatif penjenamaan semula untuk menyerlahkan transformasi syarikat menjadi pemain tenaga boleh diperbaharui dan pada masa yang sama menggiatkan semula perniagaan untuk memastikan kestabilan dan kemampanan.
"Sejak beberapa bulan lalu, kami telah mengambil langkah untuk mengukuhkan tadbir urus korporat Kumpulan dan pada masa yang sama meremajakan kepimpinan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebagai imbasan, Kumpulan telah pada Mac 2022 memisahkan Pengurusan dan Pengarahannya melalui pelantikan semula Mustakim Mat Nun sebagai Pengerusi Eksekutifnya yang juga telah melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Urusan KPower.
Pada bulan yang sama, Kumpulan juga melantik Amirul Afif Abd Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya dan melantik ahli baharu kepada Lembaga Pengarah.
Terbaru, KPower mengumumkan rombakan Lembaga Pengarahnya dan jawatankuasanya dengan perubahan ketara ialah pelantikan semula Sarah Azreen Abdul Samat sebagai Timbalan Pengerusi Kumpulan, dan Ahmad Riza Mohd Saian dan Ir. Ts. Dr. Muhammad Mahadi Mohamad memegang peranan masing-masing sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Risiko.
Selaras dengan usaha penjenamaan semulanya, Kumpulan juga telah mencadangkan pertukaran nama kepada Reneuco Berhad untuk lebih mencerminkan tumpuannya yang lebih tinggi dalam segmen boleh diperbaharui, mampan dan hijau.
“Kami meramalkan lebih banyak inisiatif untuk menyokong inisiatif penjenamaan semula kami yang akhirnya akan memacu pertumbuhan kami.
"Kami melakukan permulaan yang baik dalam matlamat kami untuk mempelbagaikan pendapatan kami untuk memasukkan pendapatan berulang dengan bidaan kami yang berjaya baru-baru ini untuk membangunkan loji janakuasa hidro kecil dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 40.4MW di bawah mekanisme e-bidaan Sustainable Energy Development Authority.
"Kami juga telah memulakan cadangan pengambilalihan One River Power Sdn. Bhd., pemilik konsesi tiga loji janakuasa hidro mini di Sabah dengan jumlah kapasiti penjanaan 29.1MW, dalam usaha yang lebih untuk mempelbagaikan portfolio aset kami,” ujarnya.
Gabungan di atas dan solar fotovoltaik berskala besar 50MW yang diraih Kumpulan pada Ogos 2021, aset milik KPower di bawah spektrum tenaga boleh diperbaharui akan menjana kira-kira 120MW, sekali gus mengukuhkan pendapatan berulang berasaskan konsesi untuk jangka panjang.
Mustakim menambah, “dengan pelonggaran sekatan perjalanan, kami telah meningkatkan usaha kami untuk mendapatkan peluang di luar negara. Kami yakin ini akan diterjemahkan kepada hasil dan keuntungan Kumpulan dalam masa terdekat."
"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, Kumpulan sentiasa optimistik bahawa ia akan terus menjana prestasi yang memuaskan untuk sepanjang tahun kewangan," kata beliau. - DagangNews.com