KPower dapat kontrak bernilai RM48 juta | DagangNews Skip to main content

KPower dapat kontrak bernilai RM48 juta

 

 


KUALA LUMPUR 16 Feb. - KPower Healthcare & Technologies Sdn. Bhd. (KPHealthTech) menerima kontrak bagi membekalkan beg udara untuk Genose dan mesin ujian GeNose COVID-19 dari PT. Biotech Maju Sejahtera (PT BMS) bernilai RM48.64 juta. 

 

KPHealthTech, adalah anak syarikat milik penuh KPower Berhad (dulu dikenali sebagai Kumpulan Powernet Berhad) manakala PT BMS adalah syarikat yang diperbadankan di Indonesia. 

 

Dalam kenyataan hari ini, KPower berkata, di bawah kontrak itu, PT BMS akan mengemukakan permintaan bertulis bagi pembekalan beg udara dan kit GeNose COVID-19 melalui pesanan pembelian yang akan dihantar oleh KPHealth ke gudang PT BMS di Bekasi. 

 

Susulan itu, PT BMS perlu membuat pembayaran dalam tempoh 40 hari bermula dari tarikh ketibaan beg udara dan kit GeNose COVID-19 di gudang tersebut. 

 

Kontrak itu berkuatkuasa bagi tempoh 12 bulan daripada tarikh penerimaan dan tertakluk di bawah undang-undang Indonesia.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KPower, Mustakim Mat Nun berkata, kontrak terbaharu ini menjadikan keseluruhan nilai kontrak di Indonesia berjumlah RM70 juta di bawah segmen penjagaan kesihatan. 

 

Katanya, bersama dengan cabang logistik syarikat, penglibatan Chemtrax Sdn. Bhd. menerusi pengangkutan getah nitrile butadiene dan lateks sintetik yang penting dalam pembuatan sarung tangan getah membolehkan kumpulan menyumbang kepada usaha mengekang pandemik COVID-19. 

 

"Kami sangat berminat untuk menyertai segmen penjagaan kesihatan dan dengan surat anugerah ini akan terus mengukuhkan usaha kami dalam membangunkan struktur yang bersesuaian dalam segmen teknologi dan penjagaan kesihatan. 

 

"Malah, dengan pengambilalihan 70% kepentingan dalam Granulab (M) Sdn. Bhd. awal bulan ini, menunjukkan kami telah membina pengetahuan teknikal dalaman, lesen untuk pengeluaran dan pengedaran peralatan perubatan di Malaysia dan juga pelbagai perakuan antarabangsa," katanya.  

 

Penglibatan KPower dalam segmen penjagaan kesihatan dan teknologi bermula selepas mengambil alih Granulab dan memperoleh kontrak bernilai RM24 juta bagi mengedarkan PCR Reagent Kit untuk COVID-19 di Indonesia pada Januari 2021. 

 

Sirim Tech Venture Sdn. Bhd., anak syarikat SIRIM Berhad memiliki 30% kepentingan dalam Granulab. - DagangNews.com