KPower raih kontrak tenaga hidro RM54.6 juta di Indonesia | DagangNews Skip to main content

KPower raih kontrak tenaga hidro RM54.6 juta di Indonesia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Syarikat tenaga dan utiliti, Kumpulan Powernet Berhad (KPower) berjaya meraih dua buah kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) loji jana kuasa hidro mini di Indonesia.

Kedua-dua kontrak yang bernilai kira-kira RM54.6 juta itu diperoleh menerusi anak syarikat penuh miliknya, Kpower International (L) Ltd. (KPIL) daripada PT Pat Petulai (PT Petulai) and PT Klaai Dendan Lestari (PT Klaai).

Menurut KPower, kontrak EPCC berkenaan bakal melibatkan jana kuasa mini dengan kapasiti 3.1MW dan 2.6MW masing-masing di Sungai Simpang dan Sungai Klaai, di wilayah Bengkulu.

Menerusinya, KPIL akan melaksanakan kejuruteraan, pembinaan, penyeliaan, pengujian, komisen, ujian kebolehpercayaan, pemulihan kecacatan selama tempoh tanggungan dan penyediaan semua peralatan, sama ada kerja-kerja tetap mahupun sementara yang melibatkan projek itu.

Pihak yang berkaitan perlu membuat perjanjian muktamad dalam tempoh 90 hari perniagaan dari tarikh penerimaan tawaran itu bagi kedua-dua projek yang dijangka siap selama 24 bulan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakim Mat Nun berkata, kontrak tersebut sejajar dengan perancangan pertumbuhan Kpower di seluruh rantau ASEAN selepas berjaya menembusi bidang tenaga dan utiliti yang mampan pada tahun 2019.

 

Mustakim Mat Nun
Mustakim Mat Nun

 

“Kami berbesar hati apabila ditawarkan projek ini memandangkan ia menggambarkan tonggak baharu bagi kumpulan syarikat merangkap kontrak EPCC pertama di Indonesia.

“Pemerolehan kedua-dua kontrak ini bukan sahaja membuktikan keupayaan kami dalam ruang infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di Indonesia, malah ini juga bertepatan dengan rancangan kami untuk meningkatkan lagi daya saing dan kehadiran geografi kumpulan dalam segmen EPCC khusus di rantau ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, kumpulan itu juga berhasrat untuk membangunkan kebolehannya dalam spektrum tenaga boleh diperbaharui seperti projek solar berskala besar selain memperluas tawaran produk termasuk angin hibrid disasarkan di pasaran Eropah, Timur Tengah dan Asia Tengah.

Setakat ini, buku tempahan kumpulan itu telah mencecah RM1.4 bilion di Malaysia, negara-negara ASEAN serta Nepal.

Kpower menyasarkan untuk meningkatkan buku tempahan dengan tambahan RM2 bilion menjelang tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021. – DagangNews.com