KAPAL Ever Given tersadai dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas marin yang teruk di Terusan Suez sejak Selasa lalu. - Sumber : Reuters
KUALA LUMPUR 29 Mac - Penganalisis melihat krisis Terusan Suez akan memberikan sokongan sementara selain menghentikan penyusutan harga minyak global.
Ketua strategi pasaran global Axi, Stephen Innes menjelaskan kesannya lebih kepada minyak yang ‘terbiar’ berbanding dihantar ke kilang penapisan.
Katanya, disebabkan itu pengeluar minyak perlu membuat inventori sekali gus menambah tekanan ke atas harga semerta (spot price).
“Impaknya berjangka masa pendek. Pelanggaran masuk dan keluar dari pelabuhan biasanya ditangani dengan cepat, tetapi, ini adalah kapal yang sangat besar untuk diapungkan semula dan penyelamatan tidak lengkap.
“Air pasang yang tinggi dari bulan penuh meningkatkan optimisme bahawa terusan itu akan ‘bebas’ pada minggu ini,” katanya menurut laporan Bernama.
Pada Jumaat lalu, harga minyak melonjak lebih daripada 4.0%, kembali melepasi paras AS$60 setong kerana kebimbangan mengenai bekalan global produk minyak mentah dan bertapis akibat krisis itu.
Sebuah kapal kontena besar milik Panama, Ever Given tersadai dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas marin yang teruk di Terusan Suez sejak Selasa lalu.
Kesesakan itu juga menyebabkan hampir 300 buah kapal kargo lain terpaksa menukar laluan melalui Afrika dengan perjalanan yang lebih jauh, kos yang tinggi dan berbahaya.
Ia juga memberi kesan kepada bekalan global yang meningkat naik ketika pandemik COVID-19.
Terusan Suez merupakan salah satu laluan air paling penting di dunia yang menghubungkan Mediterranean dengan Laut Merah serta merupakan laluan perkapalan ke Asia.
Usaha menyelamat untuk mengapungkan kapal telah dilakukan tetapi keadaan cuaca yang buruk dan saiz kapal menyukarkan operasi itu.
Sementara itu, Moody's Analytics berkata, gangguan rantaian bekalan disebabkan krisis itu tidak akan mendatangkan impak besar ke atas ekonomi dalam masa terdekat memandangkan kos pengangkutan merupakan komponen kecil dalam kebanyakan kos barangan akhir.
“Impak dalam masa terdekat akibat penutupan terusan itu lebih besar, dikaitkan dengan peningkatan harga minyak yang cepat, tetapi sederhana. Harga pengeluar menokok dengan kos tenaga yang lebih tinggi,” jelas firma itu dalam nota kajiannya. - DagangNews.com