KSK Land buka peluang kerjaya menerusi ‘REBOOT’ | DagangNews Skip to main content

KSK Land buka peluang kerjaya menerusi ‘REBOOT’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Sebagai langkah mewujudkan peluang baharu kepada bakat tempatan yang ingin mengaktifkan semula kerjaya mereka, KSK Land Sdn. Bhd. mengambil pendekatan yang berbeza dengan pelancaran program ‘REBOOT’.

 

REBOOT merupakan sebuah program perekrutan inovatif yang menyediakan platform untuk mendorong kemunculan semula kerjaya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KSK Group dan Pengarah Urusan KSK Land, Joanne Kua berkata, program berkenaan lebih daripada sekadar platform untuk pengembangan kerjaya kerana REBOOT menawarkan ahli-ahli baharunya merintis minat mereka bagi mencapai potensi tertinggi.

 

"Kami ingin merekrut individu daripada pelbagai latar belakang, kemampuan, dan perspektif yang bukan hanya menjurus kepada industri hartanah tetapi juga terdorong untuk mencabar status quo. 

 

Joanne Kua
Joanne Kua

 

“Matlamat kami adalah untuk memupuk perintis serba boleh yang teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan kami dan terlibat dalam pembangunan 8 Conlay, serta projek-projek progresif di masa hadapan dalam masa terdekat. 

 

“Inilah yang membezakan kami daripada persaingan,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Calon-calon yang mendaftar untuk REBOOT akan menjalani program pembangunan selama 12 bulan dan bergantung kepada prestasi sepanjang program berlangsung, mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan sepenuh masa di KSK Land. 

 

Program REBOOT terbuka kepada semua warga Malaysia yang memiliki pengalaman bekerja tidak kurang daripada 2 tahun.  

 

Sebagai pemaju dalam segmen hartanah gaya hidup, KSK Land memberi penekanan ke arah membina kepelbagaian yang bermakna dalam pengrekrutan dan pemilihan.

 

Oleh itu, syarikat itu yakin bahawa kelompok yang mempunyai sudut pandangan yang pelbagai berada dalam kedudukan lebih baik untuk berinovasi seterusnya mendorong pertumbuhan pasaran. 

 

Dalam pada itu, jurutera atau graduan daripada mana-mana disiplin yang mendaftar untuk REBOOT akan diberikan pelbagai peluang untuk meneroka kemahiran komersial mereka. 

 

Untuk menyertai program REBOOT, calon yang berminat akan melalui proses permohonan bermula dengan saringan panggilan video daripada jabatan sumber manusia. 

 

Calon yang tersenarai akan dijemput untuk menghadiri 'Rumah Terbuka' KSK Land, satu sesi interaktif untuk meneroka budaya kerja serta warga syarikat. 

 

Seterusnya, calon yang berjaya akan ditawarkan jawatan dalam program dan menjurus kepada dua bidang utama pilihan mereka. 

 

Bidang-bidang itu meliputi pengurusan projek, penjualan dan pemasaran, peruncitan, perakaunan dan kewangan, dan pengurusan kontrak. 

 

Pemohon yang berminat digalakkan untuk menghantar e-mel resume lengkap mereka ke careers@kskgroup.com

 

Tarikh tutup untuk permohonan kumpulan pertama adalah pada 31 Januari 2021 dan permohonan untuk kumpulan kedua akan diumumkan kelak. - DagangNews.com