KSM gesa majikan bawa masuk pekerja asing yang diluluskan sebelum laksana permohonan baharu | DagangNews Skip to main content

KSM gesa majikan bawa masuk pekerja asing yang diluluskan sebelum laksana permohonan baharu

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa majikan untuk membawa masuk terlebih dahulu pekerja asing berdasarkan kelulusan yang telah diberikan sebelum membuat permohonan baharu. 

 

KSM dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bagi mengelakkan berlakunya kesesakan yang berpunca daripada permohonan yang banyak diterima selepas pembukaan permohonan pekerja asing setelah dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19. 

 

Menurutnya, permohonan semula majikan yang telah memperoleh kelulusan kuota yang kurang daripada yang dimohon juga menjadi penyebab kepada bilangan permohonan yang banyak. 

 

"KSM ingin merujuk kepada insiden semalam (29 Ogos 2022), yang mana majikan dilaporkan berbaris panjang dan tidak mendapat slot temuduga bagi majikan yang hadir secara 'walk-in'. KSM ingin menjelaskan bahawa sesi temuduga semalam melibatkan seramai 300 majikan yang terdiri daripada 150 majikan secara walk-in dan 150 majikan yang telah mendapat temujanji awal. 

 

"KSM amat prihatin dengan insiden kesesakan yang berlaku semalam dan mengambil inisiatif memberikan nombor temujanji temuduga lebih awal bagi sesi temuduga pada 30 Ogos 2022 (Selasa), 1 September (Khamis) dan 2 September 2022 (Jumaat) kepada majikan yang tidak dapat slot temuduga pada 29 Ogos 2022. Tiada sebarang temujanji untuk sesi temuduga pada 31 Ogos 2022 berikutan cuti Hari Kebangsaan. 

 

"Justeru, hanya syarikat yang telah mendapat nombor temujanji sahaja dibenarkan untuk menghadiri sesi temuduga mengikut tarikh yang tertera di nombor temujanji," katanya.

 

Katanya, KSM akan berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pelanggan khususnya kepada majikan dan industri serta mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan penambahbaikkan. - DagangNews.com